Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Noraini Roslan menerima anugerah Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbaik Perbandaran 2023 pada 11 November 2023 di St Regis Kuala Lumpur. Foto Facebook KPKT Malaysia
PBTSELANGOR

YDP MPK terima anugerah kepimpinan PBT terbaik 2023

SHAH ALAM, 15 NOV: Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Klang (MPK) terpilih menerima anugerah Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbaik Perbandaran 2023 pada 11 November lalu di St Regis Kuala Lumpur.

Berkongsi kegembiraan itu, Noraini Roslan tidak menjangka beliau dinobatkan penerima anugerah berkenaan yang julung kali diperkenalkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Syukur, Alhamdulillah dengan kejayaan ini dan saya rasa anugerah ini merupakan antara pencapaian terbaik yang pernah saya perolehi.

“Anugerah ini berdasarkan kepada penilaian juri terhadap sumbangan saya selama ini daripada segi perancangan pembangunan sebagai YDP di beberapa PBT yang pernah saya khidmat selama ini.

“…sehingga ada antara PBT yang berjaya dinaik taraf sebagai bandar raya iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Klang yang turut bakal diiktiraf sebagai bandar raya tidak lama lagi,” katanya menerusi kenyataan.

Menerima pengiktirafan itu di Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT, Noraini berkata pencalonan itu perlu melalui proses penilaian dan saringan daripada peringkat Kerajaan Negeri sebelum senarai calon dikemukakan kepada KPKT.

“Pengalaman, pengetahuan dan kepakaran sebagai pembentang di medium forum mahupun seminar peringkat antarabangsa termasuk pelbagai pengiktirafan diperoleh MPK juga antara kriteria kemenangan ini.

“Malah, persaingan juga sangat sengit dengan pencalonan daripada pelbagai PBT di seluruh Malaysia. Terima kasih juga kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari; Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim; ahli keluarga, seluruh warga MPK dan semua yang banyak menyokong sehingga saya berada pada tahap ini,” katanya.

Selain Noraini, lima finalis turut tercalon dalam anugerah ini adalah YDP Majlis Perbandaran Kuala Langat Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dan mantan YDP Majlis Perbandaran Kajang Najmuddin Jemain.

Selain itu, YDP Majlis Perbandaran Hulu Selangor Mohd Hasry Nor Mohd dan mantan YDP Majlis Perbandaran Port Dickson Mohd Zamri Mohd Isa.

Anugerah Kepimpinan PBT Terbaik ini diberikan sebagai menghargai Datuk Bandar/YDP/Timbalan Dato’ Bandar/Setiausaha yang menerajui PBT dan mempamerkan tahap kecemerlangan dalam pelbagai dimensi antaranya pelaksanaan tugas, kepimpinan, inovasi dan sosial.


Pengarang :