AGENSISELANGOR

Zakat Selangor pelawa asnaf sertai kursus kemahiran percuma, penginapan disedia

SHAH ALAM, 3 NOV: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mempelawa golongan asnaf, fakir dan miskin yang berdaftar bawah agensi itu menyertai kursus kemahiran percuma.

Agensi itu memaklumkan program Latihan Peningkatan Kemahiran (Pensijilan Profesional) dengan kerjasama Credence Academy itu terbuka kepada individu berumur 16 hingga 40 tahun.

Tambah agensi itu, peserta juga perlu memiliki sijil SPM dan ke bawah selain tidak mempunyai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam tempoh enam bulan.

“Jangan lepaskan peluang menyertai Kursus Tajaan Penuh Pensijilan Customer Experience CX4.0 Associate. Kami menyasarkan pekerja gig, usahawan, peniaga sambilan, orang bekerja sendiri, dan mereka yang mencari pekerjaan.

“Program ini turut menyediakan pengangkutan, penginapan, bayaran kursus percuma serta elaun RM300 kepada peserta yang tamat kursus,” katanya di Facebook.

Menurut LZS, kursus selama empat hari bermula 20 November itu akan diadakan di Ulu Yam, Batang Kali dan peserta bakal dilatih dalam pelbagai kemahiran khususnya perkhidmatan pelanggan.

Jelasnya, peserta yang telah mendaftar akan melalui proses saringan semakan Perkeso dan hanya peserta yang berjaya akan dihubungi pegawai LZS.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan https://forms.gle/UhNrK5jNfudvskdz6.


Pengarang :