Pengusaha menyertai program pemutihan premis di Auditorium MPAJ, Ampang Jaya pada 2 Disember 2023. Foto MPAJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

189 premis tadika, taska ditawar lesen niaga sementara bersyarat

SHAH ALAM, 15 DIS: Sebanyak 189 premis yang menjalankan aktiviti tadika dan taska bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ditawar permohonan Lesen Perniagaan Sementara Bersyarat (LPSB) setakat Oktober.

Menurut Yang Dipertuanya Dr Ani Ahmad tawaran bawah program pemutihan termasuk pusat jagaan, pusat tahfiz dan pusat kebajikan yang mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan terbabit.

Syarat itu, jelasnya jauh dari persimpangan dan tidak mengganggu trafik pada waktu puncak selain hanya dibenarkan beroperasi di lot penjuru bagi kemudahan di kawasan perumahan.

“LPSB membolehkan premis yang menjalankan aktiviti tersebut untuk beroperasi secara sah. Bagaimanapun dalam tempoh enam bulan, pengusaha perlu mengemukakan dokumen tambahan.

“(Dokumen) seperti surat kebenaran merancang (KM), kelulusan atau permit Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan Selangor serta mematuhi syarat ditetapkan sebelum lesen penuh perniagaan diberi kepada pengusaha,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya mengadakan sesi taklimat berhubung program pemutihan di Auditorium MPAJ pada 2 Disember lalu bagi memberi pencerahan kepada pengusaha.

Antara ditekankan dalam sesi taklimat itu, jelas Ani, proses permohonan selaras garis panduan permohonan KM Perubahan Material Penggunaan Bangunan Kediaman (Tukar Guna Bangunan), dokumen atau pelan berkaitan serta sesi pendaftaran LPSB.

“MPAJ mengalu-alukan pengusaha yang menerima surat tawaran LPSB untuk menyertai program pemutihan ini,” katanya lagi.

Maklumat lanjut berhubung program pemutihan premis berkaitan boleh menghubungi Jabatan Perancang Bandar MPAJ di talian 03-42857008.


Pengarang :