AGENDAJENAYAH

201 individu ditahan, dadah lebih RM1.5 juta dirampas dalam operasi empat hari

KOTA BHARU, 25 DIS: Polis menahan 201 individu dan merampas pelbagai dadah bernilai lebih RM1.5 juta menerusi Op Tapis Bersepadu di negeri ini dari 21 hingga 24 Disember lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan DCP Mohd Ali Tamby berkata kesemua ditahan berusia lingkungan 18 hingga 68 tahun dengan dadah dirampas antaranya pil yaba, ganja, syabu, pil psikotropik, Erimin 5 dan kodein.

“Dua lelaki berusia 29 dan 36 tahun antara ditahan kerana memiliki 2,000 biji pil kuda berhampiran sebuah kedai makan di Kampung Pendek Batu 5, Jalan Salor, di sini, kira-kira 5 petang semalam.

“Hasil penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Padang Embon, Pasir Mas dan menemukan 30,000 biji pil kuda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ali berkata pil kuda yang dirampas dalam kedua-dua serbuan berjumlah 32,000 biji dianggar bernilai RM197,230.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu negatif terhadap dadah, namun seorang daripadanya memiliki dua rekod berkaitan dadah.

“Kedua-duanya direman hingga 31 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :