Sekumpulan kanak-kanak meredah banjir susulan hujan berterusan ketika tinjauan di Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu pada 21 November 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

216 PPS dibuka tampung 28,310 mangsa bah di enam negeri setakat 6 pagi

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Jumlah mangsa banjir dipindahkan di enam negeri yang terjejas banjir terus meningkat kepada 28,310 orang setakat 6 pagi ini berbanding 25,938 orang petang semalam dengan Johor dan Sabah menjadi negeri terbaharu dilanda bencana itu.

Kelantan kekal dengan jumlah mangsa tertinggi sebanyak 17,466 orang yang dipindahkan ke 89 PPS, meningkat daripada 15,145 orang yang ditempatkan di 92 PPS pada 4 petang semalam.

Di Terengganu pula, jumlah mangsa sedikit menurun kepada 10,103 orang yang berlindung di 113 PPS berbanding 10,199 orang di 125 PPS petang semalam, begitu juga di Pahang yang merekodkan seramai 485 mangsa di sembilan PPS berbanding 590 mangsa di 13 PPS.

Selangor kekal dengan empat mangsa yang ditempatkan di PPS daerah Kuala Langat, manakala dua negeri terbaharu dilanda banjir, Sabah dan Johor masing-masing merekodkan seramai 169 mangsa di tiga PPS dan 83 mangsa di sebuah PPS.

Laporan itu turut memaklumkan daripada sembilan PPS yang masih dibuka di Pahang, satu daripadanya iaitu di daerah Cameron Highlands yang melibatkan kejadian tanah runtuh, kekal menempatkan 87 mangsa daripada 17 keluarga.

Hujan berterusan juga dijangka berlaku sepanjang hari ini di Terengganu di daerah Dungun dan Kemaman; Pahang (Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin); dan Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi).

– BERNAMA


Pengarang :