EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim melawat reruai makanan pada majlis sambutan Krismas peringkat Selangor di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 16 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

5,000 pengunjung meriahkan sambutan Krismas peringkat negeri malam ini

PETALING JAYA, 16 DIS: Kira-kira 5,000 masyarakat pelbagai kaum menghadiri sambutan Krismas peringkat Negeri di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ) di sini, malam ini.

Bermula 6 petang hingga 10.30 malam, majlis diserikan dengan persembahan biola oleh Dr Joanne Yeoh, koir (Full Gospel Tabernacle Church & PJ State Chinese Methodist Church), tarian kerusi roda (Beautiful Gate Foundation) dan nyanyian (Kingdomcity) selain aktiviti lukisan muka serta dekorasi kek cawan.

Orang ramai menghadiri majlis sambutan Krismas peringkat Selangor di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 16 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengunjung turut disajikan dengan aneka juadah antaranya spageti bolognese, roti john, makaroni goreng, burger ayam dan buah-buahan.

Sementara itu, EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim ketika berucap pada majlis itu berkata keharmonian dimiliki Selangor menjadi antara daya tarik untuk sektor pelancongan negeri.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berucap pada majlis sambutan Krismas peringkat Selangor di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 16 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Negeri ini unik dan inklusif yang meraikan kepelbagaian. Selangor adalah contoh terbaik asas perpaduan nasional,” katanya.

Beliau berkata objektif Kerajaan Negeri bukan sahaja untuk mengekalkan keharmonian yang terbina di negeri ini, tetapi menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri yang inklusif untuk setiap lapisan masyarakat.

“Saya amat berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan dengan penglibatan pihak berkuasa tempatan daerah lain serta pelbagai lagi perkongsian budaya yang menjadi tarikan utama di Selangor,” katanya.

Pada majlis sama, Suee Lim turut menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri bernilai RM678,000 kepada 73 persatuan gereja dan badan berkaitan bagi menanggung kos baik pulih dan penganjuran program berbentuk keagamaan.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim (tengah) menyampaikan cek cura kepada penerim pada majlis sambutan Krismas peringkat Selangor di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 16 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :