Antara warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen dalam operasi di sebuah pangsapuri di Abdullah Hukum, Bangsar pada 30 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

567 warga asing dari enam negara ditahan di pangsapuri Bangsar

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Jabatan Imigresen menahan 567 warga asing atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dalam operasi di sebuah pangsapuri di Abdullah Hukum, Bangsar, di sini awal pagi tadi.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin berkata operasi berlangsung kira-kira tiga jam bermula 1.15 pagi hasil risikan selama seminggu pihaknya susulan aduan daripada penduduk berhubung kebanjiran warga asing di kawasan berkenaan.

“Seramai 1,000 warga asing diperiksa dalam operasi itu, dan 567 pendatang tanpa izin yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh 252 orang, Nepal (163), Myanmar (75), Indonesia (72), Filipina (empat) dan India (satu).

“Pendatang tanpa izin berumur satu hingga 55 tahun yang ditahan itu dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, dan disiasat mengikuti Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya kepada pemberita selepas operasi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pendatang tanpa izin terbabit mendiami rumah dalam bilangan penghuni lapan hingga 10 orang setiap premis, dengan kadar sewaan bermula RM1,000 sebulan, dan mereka dipercayai bekerja sekitar pangsapuri itu yang terletak berhampiran dengan beberapa pusat membeli-belah ternama.

Syamsul Badrin berkata operasi yang disertai 85 pegawai dan anggota Imigresen bagi memeriksa pangsapuri 14 tingkat itu turut berdepan cabaran apabila ada warga asing yang cuba melarikan diri dengan terjun dari bangunan dan enggan membuka pintu sehingga memaksa anggota Imigresen untuk memecahkan pintu rumah.

-BERNAMA


Pengarang :