Kepulan asap tebal menyeliputi bandar Gaza susulan serangan udara Israel pada 11 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

85 atlet Palestin maut dalam serangan tentera Israel

ISTANBUL, 15 DIS: Sekurang-kurangnya 85 atlet Palestin terbunuh dalam serangan tentera penceroboh Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat antara 7 Oktober hingga 6 Disember lalu.

Menurut laporan Persatuan Bola Sepak Palestin yang disiarkan pada Khamis, kehilangan itu memberi impak yang amat mendalam terhadap komuniti sukan, lapor Agensi Anadolu.

Mangsa terdiri daripada 55 pemain bola sepak dan 30 atlet dalam pelbagai sukan lain.

Menurut laporan itu, tentera penceroboh Israel turut menyasarkan atlet dan kemudahan sukan Palestin, terutama pemain bola sepak, presiden kelab, pentadbir dan pengadil.

Sebanyak sembilan kemudahan sukan, empat di Tebing Barat dan lima di Semenanjung Gaza musnah akibat serangan itu.

Selain itu, tiga atlet di Tebing Barat turut ditahan dan empat lagi atlet dilaporkan cedera.

– BERNAMA-AGENSI ANADOLU


Pengarang :