Ahli Dewan Negeri Balakong Ong Chung Wei menyantuni warga emas dan menerangkan Skim Mesra Usia Emas bawah Iltizam Selangor Penyayang ketika turun padang bertemu rakyat baru-baru ini. Foto ONG CHUN WEI
AGENSISELANGOR

ADN Balakong turun padang pastikan warga emas tidak terlepas bantuan negeri

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM,27 DIS: Wakil rakyat Balakong mengambil inisiatif turun padang menyantuni warga emas bagi menyalurkan maklumat berkaitan program bantuan Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

Menurut Ong Chun Wei, masih terdapat warga emas yang tidak mendapat maklumat berkaitan Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

“Oleh itu, saya mengambil pendekatan untuk sentiasa uar-uarkan bantuan SMUE kepada warga emas.

“20,000 daripada 104,000 pengundi DUN Balakong adalah warga emas, jadi saya cuba yang terbaik bagi memastikan mereka menerima manfaat daripada Kerajaan Negeri,” katanya ketika dihubungi.

Chun Wei turut memaklumkan pihaknya sentiasa berhubung dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi menjalankan Jualan Ehsan Rahmah (JER) untuk rakyat mendapatkan bahan mentah asas pada harga murah.

“Jika ada slot diberikan PKPS untuk adakan JER di Balakong, kami cukup gembira kerana ia mampu mengurangkan perbelanjaan kumpulan berpendapatan rendah (B40).

“Selain itu, melalui Pusat Khidmat Masyarakat DUN Balakong, kami juga ada menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan dengan melakukan lawatan ke rumah melalui maklumat yang diterima,” katanya lagi.

EXCO kebajikan masyarakat pada 14 November lalu memaklumkan permohonan SMUE meningkat tiga kali ganda berikutan penambahan nilai baucar Jom Shopping daripada RM100 kepada RM150 yang dilaksana tahun ini.

Menurut Anfaal Saari, seramai 110,566 warga emas memohon skim berkenaan setakat Oktober, berbanding 29,777 permohonan yang diterima sepanjang tahun lalu.

“Ini menyebabkan kelewatan pendaftaran ahli SMUE selain faktor penjenamaan semula Skim Mesra bagi golongan orang kurang upaya kepada Skim Mesra Insan Istimewa,” katanya.


Pengarang :