Foto Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dimuat naik di Facebook Istana Negara pada 28 September 2021
AGENDANASIONAL

Agong nasihat rakyat ambil langkah berjaga-jaga berikutan peningkatan kes Covid-19

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menasihati rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan berdisiplin dalam kawalan kendiri berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata Al-Sultan Abdullah turut menasihati rakyat khususnya golongan rentan, warga emas dan yang mempunyai komorbiditi agar mengamalkan pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan awam, sesak dan tertutup.

Beliau berkata pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong menitahkan rakyat agar menjaga penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Selain kawalan kendiri itu, individu bergejala disaran mengelakkan 3S iaitu berada di kawasan sesak, sempit dan bersembang (jarak dekat) sebagai langkah pencegahan dan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran jika rakyat lalai atau mengambil sikap sambil lewa, kes Covid-19 akan terus meningkat, tambahan pula ketika ini musim cuti sekolah, yang menyaksikan banyak pergerakan dan perhimpunan orang ramai,” katanya dalam kenyataan di sini.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis, memantau rapi kes jangkitan Covid-19 di seluruh negara dan mengeluarkan cadangan serta arahan berkaitan bergantung kepada situasi semasa.

“Rakyat juga disaran supaya sentiasa peka dengan perkembangan terkini berkenaan kes Covid-19 di negara ini dan arahan yang dikeluarkan KKM dari semasa ke semasa,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang media di Putrajaya berkata bagi tempoh 10 hingga 16 Disember lalu 20,696 kes Covid-19 dilaporkan di seluruh negara.

Dr Dzulkefly turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah pencegahan termasuk memakai pelitup muka di kawasan awam dan tertutup, mengelakkan kawasan sempit dan sesak serta mengambil vaksin Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :