Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang Mohd Fareez Mohd Ariss@Mohd Hatta bergambar bersama pemenang cabutan bertuah Kempen Bayar dan Menang Cukai Taksiran MPKj di lobi Menara MPKJ pada 19 Disember 2023. Foto Majlis Perbandaran Kajang
PBTSELANGOR

Amalan lunas cukai taksiran awal bawa tuah, warga emas menang iPhone

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

HULU LANGAT, 20 DIS: Amalan menjelaskan cukai taksiran awal setiap tahun membawa tuah kepada seorang warga emas selepas terpilih sebagai pemenang hadiah utama Kempen Bayar dan Menang Cukai Taksiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Peh Eu Cheh,60, yang tidak pernah culas membayar cukai taksiran sejak muda lagi membawa pulang hadiah utama berupa telefon pintar model terbaharu iPhone.

“Jika dulu perlu ke kaunter bayaran tetapi sekarang lebih mudah dengan pembayaran dalam talian. Tiada alasan untuk tangguh bayaran cukai taksiran kerana semuanya mudah melalui dalam talian,” katanya.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang Mohd Fareez Mohd Ariss@Mohd Hatta menyampaikan hadiah kepada pemenang utama cabutan bertuah Kempen Bayar dan Menang Cukai Taksiran, Peh Eu Chen, di lobi Menara MPKJ pada 19 Disember 2023. Foto Majlis Perbandaran Kajang

Eu Cheh antara 33 pemilik akaun pegangan individu yang memenangi hadiah cabutan bertuah kempen berkenaan dengan kesemua hadiah pemenang disampaikan Timbalan Yang Dipertua MPKj Mohd Fareez Mohd Ariss@Mohd Hatta dalam satu majlis semalam.

Bagi seorang pesara, Shamsudin Ishak,67, inisiatif MPKj menyediakan bayaran cukai taksiran secara dalam talian harus dipuji kerana telah memudahkan orang awam.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang Mohd Fareez Mohd Ariss@Mohd Hatta menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah Kempen Bayar dan Menang Cukai Taksiran, Shamsudin Ishak di lobi Menara MPKJ pada 19 Disember 2023. Foto Majlis Perbandaran Kajang

“Sebagai orang awam pula, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menjelaskan cukai taksiran kerana ia digunakan untuk kebaikan semua penduduk di bawah pentadbiran MPKJ.

“Saya cukup gembira apabila dimaklumkan sebagai pemenang cabutan bertuah dan ini satu perghargaan kepada pembayar cukai yang tidak pernah gagal membuat pembayaran selama ini,” katanya yang menerima membawa pulang iPad.

Terdahulu Mohd Fareez berkata inisiatif berkenaan diambil MPKj bagi menggalakkan orang awam menjelaskan cukai taksiran lebih awal seterusnya mengelak berlakunya tunggakan.

“MPKj turut melaksanakan perkhidmatan bil cukai taksiran secara digital. Ini bermakna tiada lagi pengeposan kepada pemilik akaun.

“Oleh itu, kempen ini juga sebagai medium untuk menggalakan orang awam untuk menjelaskan cukai taksiran secara dalam talian melalui pelbagai saluran bayaran yang disediakan,” katanya.


Pengarang :