KLANG, 11 DIS: EXCO kerajaan tempatan yang menerima anugerah Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) sempena Hari Keputeraan ke-78 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor tekad terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
Menjunjung kasih atas kurniaan itu, Dato’ Ng Suee Lim berkata beliau juga berhasrat mahu mempromosikan industri pelancongan Selangor yang mempunyai keunikan tersendiri seperti perkampungan orang asli dan seni warisan.
“Selain itu, saya akan pastikan harapan Tuanku untuk Selangor terus berkembang maju daripada segi pelaburan, pentadbiran pihak berkuasa tempatan dan prestasi direalisasikan serta ditambah baik,” katanya ditemui di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/Pingat15--500x351.jpg.webp)
Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menganugerahkan D.P.M.S. yang membawa gelaran Dato’ kepada sembilan penerima antaranya Suee Lim, Pegawai Kewangan Negeri Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Ketua Polis Selangor Dato’ Hussein Omar Khan.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim bersyukur atas penganugerahan Darjah Kebesaran Dato’-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.).
“Saya berkhidmat di Selangor sejak 12 tahun lalu dan anugerah ini satu pengiktirafan dan menjadi pendorong untuk terus menabur bakti dan serta beri yang terbaik kepada Kerajaan Selangor.
“Di pihak MBSJ, pentadbiran sentiasa mementingkan titah Tuanku antaranya berhubung kepentingan penjagaan kebersihan dan infrastruktur bagi memastikan tidak berlaku banjir,” katanya.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping yang merupakan salah seorang daripada penerima Darjah Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S), penganugerahan diterima adalah pengiktirafan atas usaha pendigitalan di Selangor.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/Pingat26-500x379.jpg.webp)
“Anugerah ini akan terus jadi dorongan dan memberi semangat kerana Sidec kini sedang menumpukan sektor digital lebih canggih iaitu teknologi kecerdasan buatan atau AI.
“Tahun depan kita akan memperkasakan teknologi ini dan akan mempunyai akademi latihan sendiri yang akan melatih 600 individu,” katanya.
Sempena keputeraan ke-78, Sultan Selangor berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 97 penerima termasuk penganugerahan kepada Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K) kepada Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.