Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menyerahkan replika kunci rumah kepada Rosli Hamidon pada penyerahan kunci Program Rumah Kasih Harapan 2023 di Perumahan Awam Seri Johor Cheras pada 22 Disember 2023. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bapa tunggal syukur rumah sewa lebih tiga dekad dibaik pulih percuma

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Bagaikan mimpi, rumah sewa yang didiami sejak hampir tiga dekad lalu, akhirnya mendapat nafas baharu selepas dibaik pulih dan diubah suai tanpa melibatkan sebarang kos di bawah Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan Siri 3.

Rosli Hamidon, 67, yang merupakan bapa tunggal kepada enam orang anak bersyukur terpilih dalam program berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu anugerah berharga kepada keluarganya.

Apa tah lagi, rumah baharunya lebih selesa didiami buatnya yang kini tinggal bersama tiga anaknya termasuk seorang yang sedang terlantar sakit akibat kecederaan saraf tunjang sehingga lumpuh separuh badan selepas mengalami kemalangan jalan raya pada 2012.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT, ini semua bagaikan mimpi bagi saya…saya hargai semua pemberian ini dan akan berusaha menjaga keadaan rumah ini dengan baik.

“Saya gembira keadaan rumah yang sudah berubah dan jauh lebih selesa untuk didiami,” kata pesara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu selepas menerima kunci rumahnya dalam satu majlis di sini, hari ini.

Majlis penyerahan kunci rumah itu disempurnakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri, berkata program itu adalah inisiatif Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dengan kerjasama Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak yang telah diperkenalkan pada Mac 2023.

“Program ini menyediakan kemudahan pengubahsuaian tanpa kos kepada peserta untuk mengubah suai satu unit rumah bagi golongan B40 yang terpilih.

Bagi permulaan, kos pengubahsuaian seunit rumah dianggarkan menelan kos RM30,000 manakala untuk program rumah kedua dan seterusnya adalah melalui tajaan daripada pelbagai pihak swasta, pekilang, pemaju perumahan dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau berkata lazimnya pemilihan peserta program dalam kalangan golongan B40 yang memiliki rumah sendiri, namun kali ini diberi kepada penyewa rumah tetapi masih memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.

“Keluarga ini pula ada anak yang terlantar sakit…kita cuba bantu mereka dengan memberi persekitaran yang lebih baik.

“Alhamdulillah, kita berusaha memberi keselesaan hidup yang lebih baik dan komited untuk meningkatkan lagi taraf hidup terutama rakyat miskin bandar supaya dapat memperbaiki suasana rumah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :