Barisan EXCO negeri gigih bekerja mengikut portfolio masing-masing sebaik selesai mengangkat sumpah jawatan di Istana Alam Shah, Klang pada 21 Ogos.
Sepanjang 100 hari pentadbiran, gabungan empat muka lama termasuk Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan tujuh muka baharu itu giat membela segenap lapisan rakyat.
Mereka juga memikul tugas berat dalam memajukan lagi negeri berikutan bilangan wakil pembangkang bertambah kepada 22 orang pada penggal ini.
Wartawan SITI ROHAIZAH ZAINAL dan FITRI HAZIM HAZAM merakam maklum balas sepuluh EXCO sempena 100 hari pentadbiran.
Ng Sze Han
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti
Sebagai EXCO yang bertanggungjawab merangka strategi serta dasar pelaburan dan perdagangan di Selangor, saya berpendapat Selangor telah mempunyai asas yang kukuh dari segi ekosistem perdagangan dan industri.
Kejayaan Pameran Udara Selangor (SAS) dan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang mengumpulkan RM7 bilion potensi transaksi terdiri daripada syarikat gergasi dan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah buktinya. Namun, apa lebih penting adalah kita dapat merealisasikan pelaburan ini dan usahakan pemindahan teknologi yang dapat dimanfaatkan rakyatnya.
Kini Selangor bersedia untuk menjadikan negeri ini sebuah negeri yang rakyat dan pekerjanya bersaing dengan lebih baik di peringkat Asean dan memanfaatkan peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan
Ir Izham Hashim
EXCO Infrastruktur dan Pertanian
Untuk penggal ini, saya menyambung portfolio sama seperti pertanian yang mana penekanan diberikan dengan meneruskan pelan transformasi agro. Masa tidak terbuang untuk merancang kerana inisiatif yang berjaya kita perluaskan lagi manakala di peringkat awal pula akan diteruskan.
Bagaimanapun, untuk cerun memerlukan sedikit masa dan sedikit kebimbangan isu berkaitan perubahan cuaca yang beri kesan pada pengurusan air sama ada banjir atau menghadapi kemarau. Kedua-dua ini yang diberi fokus pada penggal baharu termasuk isu keterjaminan makanan.
Pentadbiran Kerajaan Negeri tiada masalah dengan isu dibangkitkan blok pembangkang, kita faham mereka buat kerja dan sedia terangkan lagi jika tidak faham apa yang telah dijelaskan
Borhan Aman Shah
EXCO Perumahan dan Kebudayaan
Alhamdulillah menjelang 100 hari pentadbiran, saya diberi amanah untuk memegang portfolio perumahan dan kebudayaan. Perumahan adalah portfolio agak mencabar tetapi saya akan cuba memastikan dasar-dasar pelaksanaan Kerajaan Negeri diteruskan.
Selain itu, saya melihat pembangkang memainkan peranan dengan memberi pandangan-pandangan yang mengimbangi pentadbiran Kerajaan Negeri.
Kita ambil positif pandangan ini, cuma kadang-kala mereka melibatkan politik dan membangkitkan isu yang tidak sepatutnya. Malah, mereka juga diberi peluang untuk bersuara, ini menunjukkan demokrasi di Selangor kekal dan utuh
Ng Suee Lim
EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan
Untuk portfolio kerajaan tempatan, sudah mulakan usaha untuk penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Berkuasa Tempatan dan Jawatankuasa Khas Perunding pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dianggotai ahli majlis, bekas datuk bandar dan bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) dapatkan pandangan dan pengalaman mereka untuk perkasa sembilan PBT.
Untuk isu kilang tanpa kebenaran, formula situasi menang-menang sedang dirangka untuk membantu kilang-kilang tanpa izin beroperasi tanpa ada gangguan, pencemaran sekaligus menjana hasil buat Kerajaan Negeri dan PBT.
Untuk portfolio Pelancongan tingkatkan kempen ‘Kita Pusing Selangor Dulu’ oleh Tourism Selangor hingga ke peringkat Asia iaitu Singapura, Jepun, Indonesia, Taiwan dan China. Kempen untuk tingkatkan pemasaran sebagai persediaan menghadapi tahun 2024 yang dijangka mencabar dan menuju kempen Tahun Melawat Selangor 2025 bagi mencapai sasaran kehadiran 30 juta pelancong
Datuk Rizam Ismail
EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna
Sebagai EXCO buat kali pertama, sudah pasti saya mengambil tanggungjawab ini dengan penuh rasa insaf dan berikrar untuk memberikan khidmat bakti buat rakyat Rumpun Selangor khususnya melalui portfolio saya iaitu kemajuan desa, perpaduan dan pengguna.
Saya yakin Kerajaan Perpaduan ini, lebih-lebih lagi hari ini kita turut selari dengan Kerajaan Persekutuan, akan dapat memberi perkhidmatan yang terbaik buat rakyat dan Negeri Selangor.
Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan kepimpinan parti yang telah memberi kepercayaan kepada saya
Jamaliah Jamaluddin
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar
Untuk portfolio kesihatan awam, kita telah rancang untuk menambah pemegang kad Iltizam Selangor Sihat (ISS), pemegang kad dan ahli aktif akan mendapat manfaat hospitalisasi sebanyak RM10,000 bermula Disember ini.
Untuk portfolio alam sekitar, kita rancang untuk aktifkan dan wujudkan Pusat Adaptasi Perubahan Iklim, lebih banyak projek dan insiatif mengenai perubahan iklim, alam sekitar dan teknologi hijau akan dilaksanakan.
Selain itu, untuk tahun 2024, di bawah kesihatan awam akan memfokuskan kebajikan warga Selangor, kita ingin meningkatkan kesedaran melalui kempen dan program untuk cegah awal menghidap penyakit kronik. Untuk alam sekitar, pelbagai program akan dibuat untuk kesedaran perubahan iklim dan melestarikan teknologi hijau
Najwan Halimi
EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan
Sebagai EXCO baharu pastinya ia suatu mencabar dan merupakan tanggungjawab yang akan dilakukan sebaiknya. Contohnya di bawah portfolio belia dan sukan, banyak perkara baharu yang akan diperkenalkan, namun pada masa dasar polisi sedia ada dikekalkan serta ditambah baik.
Kita akan cuba fokus kepada ekonomi kreatif dan digital, yang mana selain menumpukan penjaja sektor mikro kecil dan sederhana, akan cuba meneroka potensi dalam ekonomi kreatif seperti kelompok karyawan.
Mereka ini juga usahawan tetapi dalam konteks yang berbeza, bukan menjual produk tetapi bakat dan kreativiti
Dr Mohamad Fahmi Ngah
EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi
Untuk empat portfolio yang saya pegang, setakat 100 hari ini, kita telah menetapkan beberapa insiatif dan hala tuju yang jelas. Ada juga yang kita olah dan kaji semula dasar-dasar sebelum ini.
Untuk portfolio agama Islam, saya diberikan amanah untuk melihat keperluan infrastruktur di masjid, surau dan sekolah agama. Kita telah dapatkan bajet melalui pengumuman Dato’ Menteri Besar peruntukan RM700,000 untuk kerja baik pulih tahun hadapan di masjid negeri Selangor.
Untuk portfolio infrastruktur digital, kita sedang melihat semula garis panduan menara pemancar liputan 5G di Selangor. Melalui garis panduan menjadi rujukan syarikat-syarikat telco untuk melancarkan menara 5G ini, bagi mencapai sasaran 100 liputan 5G seluruh negeri menjelang tahun 2025
V Papparaidu
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan
Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar atas pelantikan sebagai EXCO Kerajaan Negeri. Sudah pasti pelantikan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang akan dilaksana dengan sebaiknya.
Antara penekanan yang diberikan adalah memastikan setiap bantuan disediakan Kerajaan Negeri sampai kepada rakyat supaya ekonomi mereka dapat dipertingkat
Anfaal Saari
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat
Beberapa langkah diambil di bawah portfolio saya antaranya mengadakan Simposium Ekonomi Penjagaan Selangor dengan mewujudkan Kerangka Tindakan Ekonomi bersama barisan pakar dan pemegang taruh selain melaksana Tawaran Lima Tekad untuk Lima Tahun khusus untuk wanita iaitu Insentif MamaKerja.
Selain itu antara usaha lain yang akan dilaksana menambah baik beberapa inisiatif semasa di bawah Wanita Berdaya Selangor seperti Akademi Kepimpinan Wanita, proses permohonan secara digital bagi bantuan Skim Mesra Usia Emas.
Turut digerakkan adalah usaha penubuhan Yayasan Anis (Anak Istimewa Selangor) dan memantau pusat penempatan sementara mangsa bencana seluruh Selangor