AGENDANASIONAL

Bekas Menteri Kesihatan Chua Jui Meng meninggal dunia pada usia 80 tahun

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng, 80, meninggal dunia di Hospital Serdang, pukul 4.04 petang ini.

Laman Facebook Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mendiang Chua.

“Beliau merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILANJohor selama lima tahun dari 2009 hingga 2014. Di bawah kepimpinan Chua, buat pertama kali KEADILAN menang kerusi di Parlimen Batu Pahat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013,” menurut catatan tersebut hari ini.

Mendiang yang pernah menjadi Ahli Parlimen Bakri selama lima penggal dari 1986 hingga 2008, merupakan Menteri Kesihatan yang berkhidmat paling lama di negara ini iaitu dari 1995 hingga 2004.

Chua aktif dalam politik bersama MCA pada 1976, sebelum menyertai PKR dan bertanding di Parlimen Segamat pada PRU13, serta tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Tan Sri Dr S. Subramaniam ketika itu.

– BERNAMA


Pengarang :