Orang ramai membeli barangan ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Setia di Surau Al Muhajirin PPRT Lembah Subang 2 pada 16 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Belanja RM60 beli pelbagai barang, penduduk harap JER diterus tahun depan

SUBANG JAYA, 16 DIS: Seorang ibu tunggal yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di sini mengakui penganjuran program Jualan Ehsan Rahmah (JER) berhampiran tempat tinggal memudahkannya membeli barangan keperluan.

Sholiah Ismail, 62, menanti jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diadakan di kawasan terbabit selepas kali terakhir sekitar awal tahun ini.

Sholiah Ismail. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Sebelum ini saya pernah beli barang pada program ini. Selepas dimaklumkan ia kembali dianjurkan hari ini daripada pengurusan surau PPR, saya segera datang untuk beli apa yang patut.

“Mujur dekat dengan rumah, kalau tidak memang susah mahu beli barang memandangkan saya tinggal bersendirian di rumah dan tiada siapa boleh bawa saya ke kedai beli barang. Saya harap kekerapan penganjuran JER ditambah tahun depan,” katanya..

Sementara itu, Wan Azmi Wan Harun, 35, berkata JER turut memudahkannya membeli barangan asas tanpa perlu ke kedai runcit atau pasar raya selain harga ditawarkan berpatutan.

Wan Azmi Wan Harun. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya tahu jualan dibuat sekali lagi di sini melalui kumpulan WhatsApp komuniti PPR. Bagus juga buat program sebegini dekat dengan rumah, jadi saya tidak perlu bergerak jauh untuk beli barang malah harga jauh lebih murah.

“Hari ini saya hanya belanja RM60 dan macam-macam barang diperoleh seperti ayam, telur serta daging. Diharap program ini diadakan seminggu sekali di kawasan PPR Lembah Subang 2,” kata pekerja kilang.

Bagi Tengku Noor Iswani Raja Ismail, 33, penganjuran JER di PPR terbabit melegakan penduduk yang sejak kebelakangan ini terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

“Di sini majoritinya golongan berpendapatan rendah (B40) dan asnaf, jadi jualan murah seperti ini sekurang-kurangnya dapat membantu menjimatkan perbelanjaan kami.

Tengku Noor Iswani Raja Ismail. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Misalnya beras tempatan, jika di kedai lain susah mahu dapat apatah lagi harganya mahal tetapi di JER, penduduk boleh beli dengan harga RM10 sahaja,” kata ibu tiga anak yang menetap di PPR berkenaan sejak lima tahun lalu.

Diperkenal sejak tahun lalu, JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.

Petugas PKPS Maidatul Akmal Naim Ahmad Kamaruddin menyusun ayam sebelum bermula Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Setia di Surau Al Muhajirin PPRT Lembah Subang 2 pada 16 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :