Yusma Yunus ditemui media selepas menerima Anugerah Asnaf Bestari 2022 sempena majlis Anugerah Asnaf Cemerlang di Hotel Mardhiyah, Shah Alam pada 3 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Berkat bimbingan LZS, ibu tunggal bangkit majukan perniagaan arwah suami

SHAH ALAM, 3 DIS: Semangat luar biasa seorang ibu tunggal mengikuti kursus usahawan kendalian Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk meneruskan perniagaan arwah suami membuahkan hasil apabila kini bergelar usahawan berjaya.

Mengakui terhutang budi dengan LZS, Yusma Yunus, 54, berkata agensi itu banyak membimbing dan membantunya termasuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan dan kejadian bah besar pada 2021 yang memusnahkan alatan perniagaannya.

“Sejak kematian suami pada 2008, LZS tampil menghulurkan bantuan perniagaan dan pendidikan kepada empat orang anak saya untuk terus bersekolah.

“Kemudian saya menghadiri pelbagai kursus usahawan dianjurkan LZS untuk menimba ilmu dan pada 2016 saya fokus meneruskan perniagaan produk makanan sejuk yang diusahakan arwah suami hingga keluar dari status asnaf Disember tahun lalu.

“Kini hasil keuntungan perniagaan di Kampung Labohan Dagang, Banting mencecah RM7,000 sebulan. Saya juga menabur bakti sebagai Penolong Amil Kariah setelah dilantik LZS,” kata ibu kepada empat anak yang berusia antara 20 hingga 27 tahun.

Yusma merupakan penerima Anugerah Khas-Asnaf Bestari 2022 sempena Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2023 anjuran LZS di Mardhiyyah Hotel & Suite di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini bergambar bersama penerima Anugerah Asnaf Cemerlang di Hotel Mardhiyah, Shah Alam pada 3 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Luqman Null Hakiem Abdul Bari Arbee, 18, berkongsi kepayahan ibunya membesarkan lima adik-beradiknya menjadi motivasi untuk mengubah nasib keluarganya dalam pelajaran.

Beliau yang memperoleh 11A dalam SPM lalu dan kini menyambung pengajian dalam bidang Komputer Sains Komputer di Universiti Teknologi Petronas memasang impian untuk bergelar Penganalisis Data.

Luqman Null Hakiem Abdul Bari Arbee ditemui media selepas menerima Anugerah Asnaf Cemerlang Sijil Penilaian Malaysia (SPM) 2022 di Hotel Mardhiyah, Shah Alam pada 3 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya amat berterima kasih dengan bantuan yang diberikan LZS selama ini iaitu Bantuan bulanan sebanyak RM650 dan barangan dapur.

“Bantuan LZS meringankan beban keluarga memandangkan ayah kini sudah tidak mampu untuk bekerja akibat diserang penyakit strok sejak 2017,” katanya.

Sementara itu, seorang mualaf, Ridzuan Ong, penerima Anugerah Khas Ikon Mualaf 2022, berkata bimbingan ilmu agama dan keusahawanan LZS membolehkan beliau meraih pencapaian bergelar Juara Syarahan Program Mahrajan Amal Islam Mualaf Peringkat Kebangsan Tahun 2022 di Terengganu.

Ridzuan Ong ditemui media selepas menerima Anugerah Ikon Mualaf 2022 sempena majlis Anugerah Asnaf Cemerlang di Hotel Mardhiyah, Shah Alam pada 3 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Alhamdulillah sejak saya memeluk Islam pada 2019, LZS bukan sahaja menghulurkan bantuan dari segi kewangan malah kelas fardhu ain dan bimbingan Mualaf Had Ta’Lif.

“Kini saya juga mengusahakan perniagaan makanan di Bandar Bukit Tinggi, Klang,” katanya.


Pengarang :