Pengurus Syarikat Nuha Book Habeeb Mohd menunjukkan buku 100 Warkah 1000 Impian Anwar PM-10 jilid satu dan dua ketika Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Buku 100 Warkah 1,000 Impian Anwar PM-10 jadi rebutan pengunjung pesta buku

SHAH ALAM, 2 DIS: Buku 100 Warkah 1,000 Impian Anwar PM-10 terbitan Nuha Books menjadi rebutan pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023.

Pengurus Syarikatnya Habeeb Mohd berkata karya setebal 224 muka surat yang menghimpunkan pandangan 100 rakyat Malaysia terjual hampir 20 naskhah pada hari pertama pesta buku berkenaan, semalam.

Pengurus Syarikat Nuha Book Habeeb Mohd bercakap kepada Selangorkini ketika Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023.. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Permintaan terhadap buku ini tinggi berbanding karya sastera lain yang dipasarkan syarikat kami kerana pembeli mahu mengetahui apa yang disuarakan oleh 100 rakyat termasuk saya sendiri dalam buku ini.

“Pandangan berbeza daripada pelbagai lapisan umur dan masyarakat dimasukkan dalam buku ini. Saya sendiri meminta pentadbiran negara bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus membantu rakyat,” katanya.

Ditemui di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini, beliau memaklumkan novel Salina karya Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said yang diterjemah 38 negara luar termasuk Eropah turut mendapat sambutan pembeli.

Pengurus Syarikat Nuha Book Habeeb Mohd melayan orang ramai yang berkunjung ke reruainya di Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Habeeb berkata A Samad Said memberi kepercayaan kepada syarikatnya untuk menerbitkan naskhah yang berkisar tentang usaha seorang wanita mengatasi segala masalah.

“Alhamdulillah kami dapat pasarkan buku karya A Samad Said di SIBF. Sedikit sebanyak dapat membantu beliau yang sudah tiga tahun tidak mendapat royalti,” katanya.

Sementara itu, pegawai jualan dan pemasaran Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) berkata hampir 100 daripada 200 naskhah Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal yang disediakan pada SIBF terjual setakat ini.

Mohammad Hakim Mohammad Hood berkata buku Perempuan Seribu Satu Malam, Tatadunia dan Sejarah Selangor turut laris dengan masing-masing 40 naskhah dibeli pengunjung.

Pegawai Jualan dan Pemasaran IBDE Mohammad Hakim Mohammad Hood bercakap kepada SelangorKini ketika Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 yang berlansung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Orang tidak putus-putus datang untuk beli buku Muhammad. Mungkin sebelum ini mereka tidak berpeluang dapatkan, jadi kali ini mereka sambar terus.

“Jika semua 200 naskhah habis sebelum SIBF tamat, kami akan tambah stok demi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya menambah 71 judul buku keluaran IBDE dipromosi pada pesta antarabangsa itu.

Beliau turut memberitahu diskaun 10 peratus ditawar bagi pembelian satu dan dua buku, manakala 15 peratus pembelian tiga buku ke atas termasuk tote bag.

Orang ramai melihat koleksi buku Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) pada Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagi wakil Guangxi Normal University Press Group Kaylie Leong, pembabitan kali pertama dalam SIBF peluang untuk mengetengah pelbagai naskhah terbitan syarikat yang bertapak di Beijing itu.

Menurutnya, syarikat yang ditubuh kira-kira 10 tahun lalu turut menjadikan wadah itu untuk menjalin kerjasama dengan syarikat penerbitan tempatan bagi memasarkan buku kanak-kanak yang diterbitkan.

Pegawai Pentadbiran Guangxi Normal University Press Group (China) Kaylie Leong bercakap kepada Selangorkini ketika Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Buku yang kami terbitkan kebanyakan khusus untuk kanak-kanak melibatkan buku ilustrasi, buku cerita yang memberi nilai moral selain buku terjemahan dan sejarah tradisi China.

“Kami satu-satunya syarikat dari China yang menyertai SIBF, jadi kita nampak ada peluang bekerjasama dengan syarikat penerbitan dan kedai buku di Malaysia,” katanya.

Berlangsung dari semalam hingga 10 Disember, SIBF 2023 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah, jualan buku dan diskaun menarik menanti pengunjung.

SIBF julung kali dianjurkan tahun lalu susulan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.

Orang ramai mengambil kesempatan memilih buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 yang berlansung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :