AGENDAJENAYAH

Bunuh isteri guna dumbel, lelaki direman tujuh hari

SHAH ALAM, 16 DIS: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan reman tujuh hari terhadap seorang lelaki yang dipercayai membunuh isterinya dengan menggunakan dumbel, di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak, semalam.

Timbalan Pendaftar Saidatul Akmar Suberi membenarkan perintah tahanan reman terhadap lelaki yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap itu, hingga Jumaat (22 Dis) depan.

Terdahulu, suspek yang berusia 38 tahun tiba di pekarangan Mahkamah Shah Alam dengan memakai pakaian lokap itu, diiringi pegawai dan anggota polis pada 9.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim, sebelum ini dilaporkan berkata seorang pensyarah kolej maut dipercayai selepas dipercayai dipukul menggunakan dumbell oleh suaminya, akibat cemburu dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak, Shah Alam awal pagi semalam.

Mohd Iqbal berkata polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 5.33 pagi oleh suspek sendiri, yang mengatakan isterinya mengalami sawan sebelum membawa mangsa ke Hospital Shah Alam kerana tidak sedarkan diri.

Beliau berkata bagaimanapun pemeriksaan awal oleh doktor ke atas wanita berusia 33 tahun itu mendapati, terdapat kecederaan di beberapa bahagian tubuhnya dan siasatan lanjut mendapati mangsa dipukul oleh suspek akibat cemburu.

Mohd Iqbal berkata bertindak atas maklumat tersebut, pada 12.49 tengah hari, lelaki itu ditahan di Hospital Shah Alam dan senjata yang dipercayai digunakan untuk memukul isterinya iaitu sebuah dumbel, turut dirampas.

– BERNAMA


Pengarang :