Gambar hiasan perbicaraan dalam mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Datuk dipenjara 10 tahun laku amang seksual terhadap cucu saudara

SHAH ALAM, 27 DIS: Mahkamah Sesyen Klang hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas
lelaki warga emas yang didapati bersalah membuat amang seksual fizikal terhadap cucu saudaranya.

Tertuduh yang berusia 67 tahun dijatuhi hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir perbicaraan, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di sebuah rumah di Jalan Kenangan, Meru jam 5.30 petang, pada 21 April 2021.

Tertuduh diperintah menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula hari ini, selain perintah kaunseling sepanjang tempoh penjara dan pengawasan dua tahun selepas tamat tempoh pemenjaraan.

Prosiding jatuh hukum dibuat dalam sebuah wad di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) berikutan tertuduh yang sepatutnya hadir ke Mahkamah Sesyen didapati sesak nafas di rumahnya.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan peguam mewakili tertuduh M Thanakumaran supaya hukuman ditangguh sehingga pelupusan rayuan diberikan susulan tertuduh sedang mendapatkan rawatan.

Namun, mahkamah juga memutuskan penangguhan itu tertakluk kepada syarat tertuduh akan dihantar ke penjara sekiranya dia gagal memfailkan rayuan dalam tempoh 14 hari.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

 

 


Pengarang :