Murid di sebuah sekolah di Shah Alam ditunjukkan cara menanam dan menjaga pokok pada program Dusun@My Sekolah pada 4 Mac 2020. Foto MBSA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Dusun @mysekolah MBSA pupuk cintai alam sekitar dalam kalangan pelajar

SHAH ALAM, 23 DIS: Sebanyak 150 pokok buah-buahan pelbagai spesies ditanam menerusi program Dusun @mysekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Setia Alam di sini pada 6 Disember lalu.

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Cheremi Tarman berkata program tahunan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu merupakan kali kesembilan dianjurkan sejak 2013.

“Ia merupakan salah satu usaha pihak MBSA untuk memupuk masyarakat di Shah Alam mencintai alam sekitar dan kehijauan bermula daripada peringkat sekolah lagi.

“Selain itu, ia juga seiring dengan matlamat MBSA untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau menjelaskan pelajar turut didedahkan dengan pengetahuan asas mengenai pokok buah-buahan dan kaedah penanaman serta penjagaan pokok yang betul.

Sejak dilancarkan, pelbagai anak pokok ditanam antaranya rambutan, manggis, pulasan, belimbing buluh dan cermai.

Sebelum ini, MBSA turut menganjurkan program ‘Shah Alam Trees For Life’ dan berjaya menanam sebanyak 177,899 pokok pelbagai spesies sejak 2010.

“MBSA sudah menganjurkan 68 program penanaman pokok melibatkan lebih 22,000 sukarelawan daripada pelbagai institut pengajian tinggi, badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan syarikat korporat dan swasta,” katanya.

 


Pengarang :