EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari bercakap kepada media selepas pelancaran kempen Sayangi Wanita’ bersempena kempen ’16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gende di Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023, Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Tragedi menyayat hati, JKM beri khidmat kaunseling kepada ibu bapa Zayn Rayyan

SHAH ALAM, 7 DIS: Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyediakan khidmat kaunselor bagi mengurangkan beban emosi keluarga kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin yang dipercayai mati dibunuh.

EXCO kebajikan berkata bantuan psikologi adalah prosedur tetap agensi berkenaan bagi menyokong keluarga terutama ibu bapa kanak-kanak tersebut yang berdepan tragedi menyayat hati.

“Saya sendiri berhasrat untuk menziarahi keluarga mangsa. Sekarang kita beri laluan kepada keluarga untuk mengurus jenazah kanak-kanak berkenaan dahulu,” kata Anfaal Saari ketika ditemui selepas melancar Kempen Sayangi Wanita hari ini.

Hari ini, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata hasil bedah siasat terhadap Zayn Rayyan mengesahkan kanak-kanak berusia enam tahun itu mati dibunuh.

Malam tadi, mayat kanak-kanak lengkap berpakaian sekolah itu ditemui di sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya, di Aparment Idaman, Damansara Damai.

Zayn Rayyan kali terakhir dilihat memasuki kawasan belukar berhampiran kediaman itu dan kehilangan disedari ibunya ketika menaiki tangga menuju ke rumah di tingkat tiga kira-kira jam 12.30 tengah hari, 5 Disember.

Sementara itu Anfaal berharap Yayasan Insan Istimewa Selangor (Yanis) dapat ditubuh secepat mungkin bagi melindungi dan menjaga kebajikan kanak-kanak istimewa negeri ini.

“(Sudah siap) Jadi peluang kita dapatkan dana termasuk dari kerajaan persekutuan, syarikat korporat tinggi,” katanya.

Pada Julai, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Yanis bakal dilancar melibatkan peruntukan RM4 juta bagi memberi khidmat terbaik dan mensejahterakan golongan kurang upaya (OKU).


Pengarang :