Seekor anjing dikenali sebagai Ruby dari Unit Anjing Pengesan (K9) Bukit Aman dibawa ke lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan Abdul Mattin, 6, yang berada sejauh 200 meter dari kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, bagi membantu siasatan pada 9 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Falco, Jimmy jejak bukti pembunuh Zayn Rayyan

PETALING JAYA, 9 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) iaitu Falco dan Jimmy, bagi menjejaki bukti pembunuh kanak-kanak autisme Zayn Rayyan di kawasan penemuan mayatnya di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini.

Dua ekor anjing itu tiba pada 1.50 tengah hari tadi bagi melakukan penjejakan semula di kawasan aliran anak sungai berhampiran apartment berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata Unit Anjing Pengesan K9 itu, dibawa bagi mendapatkan petunjuk baharu yang mungkin membawa kepada penemuan suspek.

Unit Anjing Pengesan K9 sebelum ini memainkan peranan utama dalam usaha pencarian dalam beberapa insiden di dalam negara, yang memerlukan kepakaran yang tiada tandingnya berbanding peranti moden.

Sementara itu, Mohamad Fakhrudin berkata setakat ini belum ada pihak yang tampil memberikan rakaman kamera papan pemuka, walaupun terdapat banyak kenderaan yang meletakkan kenderaan mereka di kawasan parkir di sekitar apartment terbabit.

“Saya memohon kepada individu yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka di kenderaan mereka untuk tampil dan memberikannya kepada pihak polis,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fakhrudin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi dan menyebarkan sebarang maklumat palsu, kerana kes itu masih dalam siasatan.

“Sekiranya ada komen palsu dan mengganggu ketenteraman awam serta mencemar maruah keluarga itu, kita akan ambil tindakan tegas kepada mereka yang menyebarkannya,” katanya.

Beliau berkata sekiranya didapati bersalah, pelaku boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor SAC Baharudin Mat Taib tiba di lokasi kejadian 1.30 tengah hari, bagi menjalankan siasatan.

Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, dilaporkan hilang tengah hari Selasa lalu di Damansara Damai dan ditemukan maut dalam aliran anak sungai berhampiran kediamannya pada keesokan, kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai.

– BERNAMA


Pengarang :