Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media khas berhubung status Covid-19 di Kementerian Kesihatan di Putrajaya pada 18 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Fasiliti kesihatan siap sedia hadapi peningkatan kes Covid-19

SHAH ALAM, 18 DIS: Sebanyak 20,696 kes baharu dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-50 iaitu dari 10 hingga 16 Disember, dengan peningkatan 62.2 peratus berbanding berbanding ME sebelumnya, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata 20,677 kes tempatan (97.1 peratus) melibatkan warganegara Malaysia dan 609 kes tempatan (2.9 peratus) daripada bukan warganegara selain 19 kes import melibatkan 18 warganegara.

“Majoriti terdiri daripada kategori satu (tiada gejala) dan dua (gejala ringan). Sebanyak 151 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

“96 kes memerlukan bantuan pernafasan, selain 28 kes kematian direkodkan,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata seluruh fasiliti KKM termasuk klinik kesihatan dan hospital tidak terbeban dan bersiap sedia untuk menghadapi peningkatan kes Covid-19.

“Stok vaksin juga mencukupi bagi mereka yang masih belum mendapatkannya, serta mereka yang ingin mendapatkan dos penggalak,” katanya.

Beliau berkata bagi mereka yang ingin mengambil dos penggalak boleh datang terus ‘walk-in’ atau membuat janji temu di klinik kesihatan dan hospital.

 


Pengarang :