Pemain Gombak FA meraikan kejayaan menjuara Liga Juara Selangor 2023 selepas menewaskan Kampong Bharu Boss 1-0 di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 10 Disember. Foto Persatuan Bola Sepak Selangor
AGENDASUKANKINI

Gombak FA rai kejayaan SCL 2023, fokus Liga Super FAS

SHAH ALAM, 12 DIS: Gombak FA membuat persiapan rapi menjelang Liga Super FAS yang akan berlangsung bulan hadapan selepas mencapai sasaran menjuarai Liga Juara Selangor (SCL 2023).

Persatuan Bola Sepak Daerah Gombak berkata dua kekalahan dalam separuh akhir Piala FA Selangor dan Liga Super Selangor tahun ini menyuntik semangat untuk beraksi cemerlang sepanjang kejohanan itu.

Mengakui berdepan cabaran, Presidennya Muadzam Mohamed Shariff menjelaskan pelbagai strategi dirancang termasuk mengubah corak perlawanan bagi memastikan kemenangan milik pasukan itu.

“Kemenangan ini bukan mudah. Sepanjang tujuh perlawanan Liga Juara Selangor, kita memiliki satu kekalahan, dua seri dan empat kemenangan dan meletakkan Gombak FA di tempat pertama kumpulan A.

“Alhamdulilah, Gombak FA juara (SCL 2023) dan membuktikan kita adalah yang terbaik di dalam Liga Selangor,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata sokongan semua pihak termasuk Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari selaku penaung persatuan turut membantu tadbir urus pasukan lancar.

Muadzam berkata pihaknya menerusi pasukan Gombak City FC turut meletakkan sasaran menjuarai Liga M4 Malaysia tahun depan, seterusnya layak ke Liga M3 dan menjadi pasukan bertaraf profesional.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Mohd Adil berpuas hati dengan persembahan cemerlang pasukannya sepanjang kejohanan tersebut dengan setiap pemain mendengar arahan sebaiknya.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada pasukan Kampong Bharu Boss yang berjaya mara ke perlawanan akhir dan memberi saingan sengit,” katanya.

Gombak FA menjuarai SCL 2023 selepas menewaskan Kampong Bharu Boss 1-0 hasil jaringan tunggal Qamarul Ariffin pada minit ke-50 di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya pada Ahad lalu.

 


Pengarang :