SHAH ALAM, 12 DIS: Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kassim menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda ke-78 semalam.
Turut berbuat demikian Penasihat Undang-Undang Negeri Dato’ Salim Soib @ Hamid, Pegawai Kewangan Negeri Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan semua EXCO Kerajaan Negeri.
Berikutan ucapan pemimpin berkenaan:
Dato’ Haris Kasim
Setiausaha Kerajaan Negeri
Patik dan semua penjawat awam negeri Selangor Darul Ehsan mendoakan ke hadrat Allah SWT agar Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor serta semua kerabat diRaja berada dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera.
Sesungguhnya seluruh penjawat awam di negeri Selangor Darul Ehsan menyanjung tinggi dan menyayangi Tuanku. Dirgahayu Tuanku
Dato’ Salim Soib @ Hamid
Penasihat Undang-undang Negeri
Daulat Tuanku, dirgahayu Tuanku. Merafak sembah dan setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan.
Doa dipanjat ke hadrat Allah SWT, semoga pemerintahan DYMM Tuanku dirahmati, dikurniakan kesihatan dan keberkatan, hidayah dan afiah, serta penuh kedaulatan dan kesejahteraan untuk terus menaungi Negeri Selangor Darul Ehsan.
Sembah Takzim daripada kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor
Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin
Pegawai Kewangan Negeri
Patik sekalian merafak sembah, menjunjung kasih dan merakamkan setinggi tahniah atas sambutan keputeraan Tuanku yang ke-78.
Semoga Tuanku sentiasa di dalam kesejahteraan, rahmah dan peliharaan Allah SWT jua serta dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat.
Daulat Tuanku
Ng Sze Han
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti
Semoga dipanjangkan usia Tuanku di dalam keadaan sihat sejahtera penuh bahagia.
Patik berdoa semoga Tuhan memberkati pemerintahan berjiwa rakyat Tuanku untuk negeri bertuah ini. Semoga Negeri ini terus makmur dan sejahtera di bawah naungan Tuanku.
Daulat Tuanku
Ng Suee Lim
EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan
Saya ambil peluang keemasan untuk menjujung penghargaan kepada DYMM Sultan Selangor sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-78.
Semoga Tuanku terus memerintah negeri Selangor dalam keadaan sihat walafiat. Semoga negeri terus maju dan sejahtera.
Tuanku adalah payung kepada rakyat negeri Selangor, institusi diraja perlu disanjung dan terus dipertahankan. Yang penting rakyat dan sultan berpisah tiada
Ir Izham Hashim
EXCO Infrastruktur dan Pertanian
Patik mengucapkan tahniah dan selamat menyambut sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan.
Patik sekeluarga mendoakan Baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin terus sihat dan diberi rahmat keberkatan dan panjang umur.
Semoga Tuanku terus memerintah Selangor ke arah yang lebih baik dan makmur demi kesejahteraan rakyat
Datuk Rizam Ismail
EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna
Patik merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-78.
Patik mendoakan semoga Baginda Tuanku Sultan sentiasa diberikan keafiatan yang baik untuk terus bersemayam di atas takhta Kerajaan Selangor dan menjadi payung yang menaungi seluruh warga rumpun Selangor
Daulat Tuanku
Borhan Aman Shah
EXCO Perumahan dan Kebudayaan
Patik mendoakan DYMM Sultan Selangor dalam keadaan sihat, sejahtera dan senantiasa berada dalam lindungan Yang Maha Esa.
Patik mendoakan ke hadrat Allah SWT semoga Tuanku Sultan dan Tengku Permaisuri serta seluruh kerabat diraja sentiasa dilimpahi rahmat, hidayah-Nya dan berada dalam penuh kedaulatan
Daulat Tuanku
Jamaliah Jamaluddin
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar
Ampun Tuanku, patik merakam ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan rasmi Sultan Selangor.
Patik memanjatkan doa kepada Allah SWT, supaya DYMM Sultan Selangor serta DYMM Tengku Permaisuri Selangor dilanjutkan usia, sentiasa diberi kesejahteraan dan kesihatan yang baik.
Patik juga memanjatkan doa agar negeri Selangor terus aman, sentosa dan makmur di bawah pemerintahan Tuanku. Daulat Tuanku
Najwan Halimi
EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan
Patik merafak sembah tahniah dan didoakan DYMM Sultan Selangor dikurniakan ‘afiyah dan kesihatan yang baik serta kebijaksanaan dan kekuatan untuk terus memerintah dan menaungi negeri.
Mudah-mudahan Tuanku dalam keadaan baik dan tenang serta sekalian rakyat berpegang teguh pada tradisi kesultanan Melayu.
Kerajaan Negeri komited dalam mempertahankan institusi diraja dan menjadi Raja-raja Melayu payung pada kedaulatan negeri dan perpaduan rakyat
Papparaidu Veraman
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan
Patik berdoa semoga Tuanku sentiasa di panjang usia dan diberikan kesihatan yang baik demi rakyat jelata di Selangor.
Patik juga mendoakan agar Tuanku dan Tengku Permaisuri, serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan seterusnya kepada puteri-puteri dan adinda-adinda berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan-Nya
Dr Mohammad Fahmi Ngah
EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi
Dengan kesempatan ini, patik ingin merafak sembah tahniah dan mengucapkan selamat kepada DYMM Sultan Selangor sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-78.
Semoga pemerintahan Tuanku terus diberkati, dilindungi Allah dan diberikan rahmat serta kemuliaan.
Patik juga mendoakan semoga Tuanku dan Tengku Permaisuri terus diberkati, dilindungi dan sentiasa diberikan rahmat serta kemuliaan oleh Allah SWT. Daulat Tuanku
Anfaal Saari
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat
Patik mengucapkan selamat hari keputeraan kepada DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Patik mendoakan ke hadrat Allah SWT semoga Tuanku dan Tengku Permaisuri Selangor serta seluruh Kerabat Diraja dilimpahi rahmat dan hidayah, berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.
Semoga Baginda dikurniakan ‘afiyah dan hikmah untuk terus memayungi negeri dan rakyat Selangor dengan adil dan saksama.