AGENDANASIONAL

HDC, syarikat Arab Saudi jalin kerjasama pacu industri halal di peringkat global

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Halal Development Corporation Bhd (HDC) dan Halal Products Development Company (HPDC) Arab Saudi memeterai perjanjian kerjasama baru-baru ini bagi memperkasakan pertumbuhan industri halal di Arab Saudi dan peringkat global.

Kenyataan bersama itu berkata perjanjian itu ditandatangani ketika Ekspo Halal London 2023, yang diadakan dari 1 hingga 3 Disember 2023.

“Menerusi kerjasama dan perjanjian strategik kami tersebut, HPDC (akan) menghubungkan vendor, pengedar dan perniagaan yang beroperasi dalam industri halal di seluruh dunia.

“Dengan perjanjian ini, matlamat kami adalah untuk mewujudkan ekosistem dinamik di Arab Saudi yang meningkatkan ekonomi tempatan, menarik pelabur antarabangsa dan meningkatkan perdagangan halal di seluruh dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HPDC Fahad AlNuhait.

Sementara itu, CEO HDC Hairol Ariffein Sahari berkata HDC akan menyediakan khidmat nasihat khusus, strategi pelaburan, kerjasama inovasi dan pemindahan teknologi dengan pengalaman luasnya dalam membina ekosistem halal yang komprehensif.

“Kami percaya HDC akan menyediakan model operasi yang terbukti berkesan, di samping ekosistem halal yang mampan. Langkah ini bukan sahaja memberikan manfaat yang besar kepada Arab Saudi tetapi turut meluaskan impak yang positif itu pada skala global,” katanya.

Kedua-dua syarikat itu akan turut bertukar maklumat berkaitan amalan peneraju industri dan model ekosistem halal yang berjaya, kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, di samping memupuk hubungan komersial antara pihak berkepentingan dalam pelbagai sektor, perjanjian itu juga akan meluaskan skop kerjasama dengan memudahkan penglibatan dengan pengeksport dan pelabur halal.

– BERNAMA


Pengarang :