AGENSISELANGOR

Hijrah Selangor tawar hadiah lebih RM20,000 kempen bayar balik dan menang

SHAH ALAM, 4 DIS: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) menawarkan hadiah lebih RM20,000 dalam program Kempen Bayar Balik dan Menang Hijrah Selangor 2023.

Kempen yang bermula dari 1 Januari lalu hingga 18 Disember ini terbuka kepada semua usahawan Hijrah Selangor.

“Penyertaan kempen adalah secara automatik kepada usahawan Hijrah Selangor.

“Pastikan usahawan membuat bayaran balik mengikut jadual ditetapkan untuk memastikan nama tercalon dalam cabutan kempen ini pada hujung 2023,” kata Hijrah Selangor menerusi Facebook.

Menurut kenyataan itu lagi cabutan dijalankan mengikut dua kategori iaitu kategori 1 bagi pembiayaan RM30,000 ke bawah dan kategori 2 untuk RM31,000 ke atas.

Katanya kategori 1 dan 2 berpeluang memenangi hadiah misteri lebih dari RM20,000.

“Cabutan kempen bayar balik dan menang ini akan dijalankan pada 27 Disember bagi kategori 1 dan 28 Disember untuk kategori 2 melalui siaran langsung di Facebook dan Youtube Hijrah Selangor,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 2015, Hijrah Selangor menawarkan pelbagai skim pembiayaan seperti Skim i-Bisnes, Skim Zero to Hero; Skim Go Digital dan Skim Pembiayaan Niaga Darul Ehsan (NADI).

Selain itu agensi berkenaan turut menyediakan Skim i-Lestari, Skim i-Agro dan Skim i-Bermusim bagi membantu dari segi modal serta mengembangkan perniagaan usahawan.


Pengarang :