Peniaga mengasingkan bawang kecil dan bawang besar mengikut jenis ketika tinjauan mengenai harga bawang di Pasar Raja Bot, Kuala Lumpur pada 24 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

India larang eksport bawang, kerajaan akan dapatkan dari China dan Pakistan

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Kerajaan akan mendapatkan bekalan bawang dari China dan Pakistan susulan keputusan India melarang eksport sayuran itu hingga Mac tahun depan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu tidak akan menyebabkan perubahan ketara kepada harga runcit bawang.

“Kita telah bersedia ke arah itu. Harganya (harga runcit bawang) nanti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bincang, tetapi kesannya tidak banyak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Parti Amanah Negara di sini hari ini.

Pada 8 Dis lepas, India yang menyumbang sebanyak 36 peratus kepada import bawang ke Malaysia telah melarang eksport bawang sehingga Mac tahun depan bagi meningkatkan bekalan domestik selain membendung inflasi pengguna di negara itu.

Menurut Direktorat Perdagangan Luar Negeri India, ia susulan eksport bawang dipindahkan daripada kategori bebas kepada larangan hingga 31 Mac 2024.

– BERNAMA


Pengarang :