Isu keselamatan cerun di perumahan Cendana, Puncak Bestari, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor diambil perhatian oleh Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS). Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kuala Selangor
ADNSELANGOR

Isu cerun di Puncak Alam diambil perhatian, pembaikan dilaksana segera

SHAH ALAM, 26 DIS: Isu keselamatan cerun di perumahan Cendana, Puncak Bestari, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor telah dibincangkan menerusi mesyuarat bersama pihak berkepentingan pada 7 Disember lalu.

Menerusi Facebook Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kuala Selangor memaklumkan masalah tersebut telah diambil perhatian oleh Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

“Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah pihak Persatuan Penduduk Cendana Puncak Bestari, Tetuan Worldwide, Tetuan Guppyunip, wakil Ahli Parlimen Kuala Selangor serta jabatan teknikal dalaman MPKS.

“Mesyuarat ini adalah bagi memastikan keputusan dalam mesyuarat tersebut dilaksanakan. Selain itu bagi menyelaraskan isu-isu teknikal pelaksanaan pembaikan dan penyelenggaraan cerun tersebut,” katanya.

Hantaran itu turut memaklumkan, antara cadangan penambahbaikan yang perlu dibuat terhadap cerun berkenaan adalah penanaman rumput di kawasan terdedah, pembetulan aliran air di kaki cerun, dan membina sistem saliran tambahan.

Selain itu, katanya, penyelenggaraan cerun secara berkala juga hendaklah dilakukan dengan mematuhi Manual Garis Panduan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bagi Penyelenggaraan Cerun di Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan lebih 100 penduduk perumahan Cendana, Puncak Bestari, Bandar Puncak Alam, berdepan isu keselamatan susulan berlaku pergerakan tanah di penempatan itu sejak 2016.

Difahamkan, masalah berkenaan membabitkan cerun di lorong belakang Jalan Bestari 2/5 sehingga mengakibatkan jalan dan struktur rumah di situ retak.


Pengarang :