Aksi beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Terbuka Denmark pada 19 Oktober 2023. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia
AGENDASUKANKINI

Jelajah Dunia Akhir BWF: Laluan getir menanti dua beregu negara di China

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Dua beregu negara dijangka berdepan tugas mencabar melepasi peringkat kumpulan pada Kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2023 di Hangzhou, China bermula Rabu hingga Ahad ini.

Pengumuman undian pemain yang dibuat secara langsung menerusi saluran YouTube BWF malam ini menyaksikan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik diundi dalam Kumpulan A bersama dua gandingan dari China melibatkan ranking pertama dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi selain wakil Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Saingan beregu campuran pula menyaksikan juara Terbuka Taiwan 2023, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diundi dalam kumpulan A bersama pemenang gangsa Kejohanan Dunia 2023, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun yang juga merupakan gandingan ranking kedua dunia.

Turut diundi dalam kumpulan itu ialah pasangan keempat dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping yang merangkul tujuh gelaran juara musim ini selain gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh- Sapsiree Taerattanachai.

Berdasarkan format kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan US$2.5 juta (RM11.70 juta) itu hanya dua pasangan teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir.

Malaysia tidak mempunyai wakil dalam kategori perseorangan lelaki dan wanita serta beregu wanita pada kejohanan penutup musim itu selepas pemain negara gagal berada dalam kelompok lapan terbaik dalam ‘Race to BWF World Tour Finals 2023′.


Pengarang :