Orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk M Daud Kilau di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk pada 19 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jenazah penyanyi M Daud Kilau selamat dikebumikan

BAGAN DATUK, 19 DIS: Jenazah penyanyi legenda, Allahyarham Datuk M Daud Kilau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh di sini pada 2.30 petang ini.

Cuaca baik mengiringi upacara pengebumian di kawasan perkuburan itu yang dihadiri kenalan rapat, saudara mara dan penduduk setempat.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Tuminah Hamidi l di sini yang diimamkan imam masjid, Zulfadil Ismail serta lebih 400 jemaah.

Sementara itu, Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) Datuk DJ Dave menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan besar dalam industri seni tanah air.

“Saya dan Allahyarham sudah kenal sejak 50 tahun lalu. Kami banyak menyanyi dan sepentas bersama. Semasa aktif, arwah suka menjahit baju labuci yang dipakainya sekiranya perlu diubah suai ketika berada di belakang pentas.

“Sejak tiga tahun lalu YKAT memberi pencen berjumlah RM500 kepada Allahyarham sebagai menghargai sumbangannya dalam industri seni,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, cucu Allahyarham, Norhasliyana Hassan, 33, berkata beliau akan merindui dendangan lagu Cek Mek Molek yang sering dinyanyikan arwah datuknya menerusi panggilan telefon sebelum ini.

“Sepanjang hayatnya, atuk tidak kisah jika kami buat bising ketika di rumah, malah beliau tidak pernah memarahi kami. Saya akan merinduinya,” katanya sebak.

Norhasliyana berkata kesihatan arwah datuknya mula merosot sejak Mac lalu dan sering keluar masuk hospital bagi mendapatkan rawatan.

Katanya mengikut perancangan, mereka sekeluarga mahu membawa Allahyarham ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan susulan namun tidak kesampaian.

Allahyarham M Daud Kilau, 85, disahkan meninggal dunia 4.46 petang semalam akibat jangkitan kuman dalam darah ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Semalam, anak sulung Allahyarham, Noraini Muhammad Daud, 58, berkata sepatutnya arwah bapanya perlu menjalani pembedahan kaki akibat jangkitan kuman namun terpaksa ditangguhkan.

Noraini berkata pembedahan itu ditangguhkan disebabkan keadaan kesihatannya yang semakin merosot akibat menghadapi pelbagai komplikasi penyakit antaranya jangkitan kuman dalam darah, sakit jantung, kencing manis dan masalah buah pinggang.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Rohani Awang Ngah, 66, dan dua orang anak iaitu Noraini dan Ahmad Zaini, 52, serta sembilan cucu dan dua cicit.

Penyanyi itu sebelum ini pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu selepas disahkan menghidap kencing manis selain sakit pinggang dan jantung tidak stabil.

– BERNAMA


Pengarang :