Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Pandan Indah di Taman Nirwana, Ampang Jaya pada 26 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah barangan dapur di dua lokasi pagi ini

SHAH ALAM, 19 DIS: Program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berlangsung di Flat Bandar Sungai Emas, Banting dan pekarangan pusat khidmat masyarakat DUN Sungai Air Tawar, mulai 10 pagi ini.

Program itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Terbaharu, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 ekoran kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.

Program itu dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :