Orang ramai menunggu giliran untuk membeli barangan ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Setia di Surau Al Muhajirin PPRT Lembah Subang 2 pada 16 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah di PPR Lembah Subang dapat sambutan, penduduk beratur sejak 8 pagi

SUBANG JAYA, 16 DIS: Program jualan murah barangan asas yang berlangsung buat kali kedua di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di sini hari ini mendapat sambutan apabila 200 nombor giliran tersedia habis dalam tempoh kurang sejam.

Difahamkan, penduduk berhampiran mula beratur seawal 8 pagi untuk mendapatkan pelbagai barangan asas yang dipasarkan melalui Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada harga murah.

Penyelaras PKPS Mikael Haikal Amir Iskandar ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Setia di Surau Al Muhajirin PPRT Lembah Subang 2 pada 16 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Penyelaras program Mikael Haikal Amir Iskandar berkata sistem giliran dilaksana atas permintaan pusat khidmat masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia bagi memastikan jualan lebih sistematik sekali gus memudahkan penduduk membeli barangan.

“Pemilihan sekali lagi PPR Lembah Subang 2 sebagai lokasi penganjuran kerana di sini rata-ratanya golongan berpendapatan rendah (B40) dan mereka sememangnya memerlukan jualan murah sebegini untuk membeli barangan asas

“Jika sebelum ini pengunjung terpaksa beratur panjang tetapi sekarang guna sistem nombor yang disediakan pihak PKM dan sambutan sangat baik,” katanya ditemui Selangorkini.

Menerusi program itu, beliau berkata sebanyak 500 ekor ayam disediakan manakala telur gred B dan beras masing-masing 300 pek, ikan dan daging pejal segar (200 pek) serta minyak masak lima kilogram (72 botol).

“Dalam banyak-banyak produk dibawa, ayam dan telur paling laris serta cepat terjual. Tiada tambahan bekalan dibuat sekiranya habis kerana untuk sehari program JER, kita sudah tetapkan kuantiti yang perlu dibawa mengikut subsidi disediakan,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS

Petugas PKPS Maidatul Akmal Naim Ahmad Kamaruddin menyusun ayam sebelum bermula Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Setia di Surau Al Muhajirin PPRT Lembah Subang 2 pada 16 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
Orang ramai membeli barangan ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Setia di Surau Al Muhajirin PPRT Lembah Subang 2 pada 16 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :