Orang ramai tidak melepaskan peluang berbelanja di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat DUN Pandamaran Jaya di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 18 Disember 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah negeri, suri rumah belanja RM50 cukup keperluan keluarga

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

KLANG, 18 DIS: Harga barangan Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang murah 30 peratus berbanding harga pasaran banyak meringankan belanja golongan berpendapatan rendah.

Suri rumah Siti Sarah Othman, 41, berkata dia hanya membawa RM50 untuk membeli membeli barangan asas yang cukup menampung keperluan keluarga sekurang-kurangnya seminggu

“Dengan berbelanja RM50, saya dapat membeli banyak barangan seperti seekor ayam, sepapan telur ayam dan beras. Sekurang-kurangnya perbelanjaan untuk musim cuti sekolah ini dapat dikurangkan kerana berbelanja di sini (JER),” katanya.

Pengunjung Siti Sarah Othman dan Zubaidah Abdul Rahman. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

Rakan baiknya, Zubaidah Abdul Rahman, 45, mengakui biarpun perlu menunggu lama dengan berbaris panjang namun ia sangat berbaloi kerana harga barangan ditawarkan berbaloi dan mampu milik.

“Anak-anak membesar dan mereka juga ada di rumah kerana musim cuti sekolah jadi keperluan makanan harian dapat dikurangkan dengan berbelanja di sini.

“Apa yang saya lihat Kerajaan Negeri cukup perihatin keperluan rakyat dengan menawarkan jualan murah sejak tahun lalu,” katanya.

Bagi Thiaga Rajan, 42, jualan murah itu sangat membantu golongan berpendapatan rendah apatah lagi dia juga menjaga ibu serta dua orang anak saudara.

“Isi rumah besar memerlukan bahan mentah asas yang banyak. Dengan adanya jualan murah seperti ini, dapatlah meringankan beban kami sekeluarga, ”katanya yang berharap JER dapat dianjurkan kerap di kawasan tersebut.

Pengunjung Thiaga Rajan. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

Sementara itu Penyelaras Jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohamad Nazif Zulkilfle berkata 500 ekor ayam habis terjual dalam tempoh  dua jam menerusi jualan tersebut.

“PKPS membawa 500 ayam dan 300 telur dan beras. Ketiga-tiga barangan ini terutama ayam antara yang menjadi tumpuan penduduk berikutan harga murah berbanding pasaran,” katanya.

Jualan murah kendalian PKPS menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).

Orang ramai tidak melepaskan peluang berbelanja di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat DUN Pandamaran Jaya di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 18 Disember 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

Pengarang :