Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas berkualiti pada harga murah sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Kafa Integrasi Sekolah Rendah Agama Nurul Ain, Selat Klang pada 26 Disember 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah tawar produk berkualiti, jimat belanja 40 peratus

KLANG, 26 DIS: Bukan hanya barangan asas yang ditawarkan berkualiti, malah program Jualan Ehsan Rahmah (JER) turut menjimatkan belanja penduduk setempat sehingga 40 peratus.

Perkara itu diakui warga emas Yusnaini Mohd Daud, 60, yang gemar berbelanja dalam program tersebut berikutan memiliki sumber kewangan terhad dan hanya bergantung kepada anak-anak.

“Apabila ada jualan, saya tidak lepaskan peluang dan mesti hadir jika berkelapangan. Sebagai rakyat Selangor, saya gembira dengan keprihatinan Kerajaan Negeri.

Yusnaini Mohd Daud, 60

“Saya berharap program jualan murah diteruskan dari semasa ke semasa demi membantu masyarakat khususnya berpendapatan rendah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pekerja swasta Afiq Mohd Aril, 36, turut mengakui dapat berjimat sekitar RM60 setiap kali membeli barangan dapur di JER seperti beras, ikan, daging, telur dan minyak masak.

“Jika di luar mungkin saya perlu belanja hampir RM150, tetapi di jualan ini hanya bayar RM95 sahaja. Sangat menjimatkan, sekali gus meringankan beban,” jelasnya.

Sementara itu, Fong Yai Ping, 75, gemar ke program jualan murah itu untuk mendapatkan produk keluaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) seperti beras dan biskut jagung.

“Harap selepas ini jualan tersebut masih ada untuk saya terus dapatkan barangan PKPS yang berkualiti,” katanya yang turut menggemari sapuan kaya dan kicap keluaran agensi itu.

Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Telok Gadong Rahana Zakaria

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kampung Telok Gadong Rahana Zakaria berkata lebih 3,000 penduduk menerima manfaat jualan tersebut sepanjang tahun ini.

Jelasnya, kebanyakan penduduk datang seawal 8 pagi untuk mendapatkan nombor giliran dan tidak kisah menunggu lama bagi membeli barangan keperluan pada harga murah.

“Setakat ini penduduk berpuas hati walaupun mereka ada bertanya lokasi seterusnya selain berharap dianjurkan lebih kerap,” katanya.

JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).

Program itu dianjurkan di lebih 2,400 lokasi seluruh negeri dan memanfaatkan lima juta penduduk.


Pengarang :