Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Balakong di Kampung Jambu, Kajang pada 23 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kayuh basikal hampir satu kilometer, tidak mahu terlepas beli barang asas murah

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

KAJANG, 23 DIS: Seorang pengunjung mengayuh basikal hampir satu kilometer untuk ke program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Kampung Jambu di sini, hari ini.

Lee Sau Ling, 54, berkata dia datang seawal lapan pagi untuk mendapatkan nombor giliran dan membeli pelbagai barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran.

Lee Sau Ling, 54. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya sudah biasa menunggang basikal ke mana-mana sahaja. Dengan basikal ini, saya mencari rezeki mengumpul barang kitar semula. Jadi tiada masalah untuk saya membeli sebotol minyak, beras, telur dan ayam untuk dibawa balik.

“Saya bersyukur kerana berpeluang dapat berbelanja di jualan murah seperti ini. Harap ia dapat diteruskan kerana bantu ringankan beban keluarga berpendapatan rendah,” katanya ketika ditemui pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Balakong.

Bagi suri rumah Radzilah Ujang, 54, dia menanti program JER pada setiap hujung minggu bagi meringankan beban belanja dapur.

Radzilah Ujang, 59. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kos harga barang semakin meningkat. Melalui jualan murah inilah saya sekeluarga dapat mengurangkan kos membeli bahan asas seperti ayam, telur dan beras.

“Jadi saya sekeluarga akan mengikuti jadual JER ini di Facebook PKPS. Mana yang berdekatan atau berkesempatan pergi, saya tidak lepaskan peluang,” katanya yang tinggal di Seksyen 4 Tambahan, Bangi.

Ibu tunggal dari Taman Kantan Permai, Zawiyah Zainudin, 58, berterima kasih atas inisiatif Kerajaan Negeri bagi meringankan beban keluarga yang memerlukan.

Zawiyah Zainudin, 58. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Cucu akan datang setiap hari duduk bersama saya. Jadi keperluan bahan mentah asas seperti beras, minyak dan ayam antara yang wajib perlu ada di rumah.

“Dengan jualan murah seperti ini, saya dapat jimatkan kos perbelanjaan kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah daripada pasaran luar seperti ayam dan telur,” katanya.

Program JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Lokasi terkini JER boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR Jadual JER pada imej infografik PKPS atau rujuk pautan http://linktr.ee/myPKPS

Lee Sau Ling, 54. menggunakan basikal untuk mengangkut barang yang dibeli pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Balakong di Kampung Jambu, Kajang pada 23 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :