Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bergambar bersama penduduk selepas Tuai padi bersama YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sempena program Lestari Alam Sekitar di Kebun Komuniti AU2 Keramat, Ampang Jaya pada 18 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Kebun komuniti Rumah Pangsa AU2 Keramat tanam 240 pokok pelbagai jenis

AMPANG JAYA, 18 DIS: Sebanyak 240 pokok pelbagai jenis ditanam di Kebun Komuniti Rumah Pangsa AU2 di Taman Keramat, Ampang Jaya sejak 2015, kata yang dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Dr Aini Ahmad berkata usaha gigih oleh Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Rumah Pangsa AU2 diiktiraf dengan memenangi tempat ketiga Anugerah Laman Hijau Strata Negeri Selangor pada November lalu.

“Kebun komuniti ini merupakan salah satu daripada 52 kebun komuniti di bawah pentadbiran MPAJ sejak 2015 dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Selangor.

“Pokok ditanam antaranya ulam raja, bunga kantan, serai dan pokok buah-buahan seperti nangka, mangga. Ia termasuk pelbagai herba popular seperti Tongkat Ali dan Kacip Fatimah.

“Penanaman pelbagai jenis pokok termasuk padi bertujuan untuk membangunkan kebun komuniti menjadi hab agropelancongan dan pendidikan pertanian.,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengiringi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mengadakan lawatan kerja ke Kebun komuniti AU2, Taman Keramat, hari ini.

Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad bercakap kepada Media Selangor selepas Tuai padi bersama YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sempena program Lestari Alam Sekitar di Kebun Komuniti AU2 Keramat, Ampang Jaya pada 18 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Dr Aini memaklumkan MPAJ berjaya merangkul lapan Anugerah Laman Hijau Negeri Selangor 2023 anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) pada November lalu.

“Kejayaan ini menjadi suntikan motivasi untuk terus berusaha melestari laman hijau strata di kawasan pentadbiran MPAJ,” katanya.

Jumlah keseluruhan dimenangi pihak berkuasa tempatan itu sebanyak RM22,500 dan berjaya memenangi Anugerah Khas Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik.

Sebanyak empat kebun komuniti merangkul anugerah iaitu Kebun Komuniti Pegaga Ampang dengan dua anugerah (Johan, Inovasi Laman Hijau), Kebun Komuniti Pangsapuri Permai Putra (Bandar Berdaya Huni) dan Kebun Komuniti AU2 Keramat (tempat ketiga).

Manakala, Kebun Komuniti Taman Keramat Permai, Kebun Komuniti Ukay Indah dan Kebun Komuniti Pandan Jaya menerima sagu hati.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu melakukan simbolik menuai padi ketika program Lestari Alam Sekitar di Kebun Komuniti AU2 Keramat, Ampang Jaya pada 18 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :