Suasana di taman tema air SplashMania di Bandar Gamuda Cove, Kuala Langat ketika tinjauan pada 2 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kempen tarik lebih ramai pelancong asing ke Selangor diteruskan

KLANG, 20 DIS: Kempen pelancongan global dikenali “Splendid Selangor, Take Me Anywhere!” akan diteruskan ke beberapa negara tahun depan bagi menarik lebih ramai ketibaan pelancong asing ke negeri ini.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata misi promosi produk pelancongan sejajar Tahun Melawat Selangor 2025 membabitkan negara seperti China, Indonesia, Singapura, Jepun, India, Laos dan Jerman.

“Kita sudah rangka Tahun Melawat Selangor 2025 termasuk strategi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini. Maka tahun depan sesi lawatan bagi mempromosi (produk pelancongan) ke luar negara akan dilakukan. Sesi padanan perniagaan (B2B) juga akan dibuat di negara terbabit.

“Kita mahu memperkasa industri pelancongan termasuk ekonomi Selangor dengan lebih cepat memandangkan sektor ini antara yang boleh menjana ekonomi dalam pascapandemik Covid-19,” katanya di sini hari ini.

Ditemui selepas merasmikan majlis Anugerah Komuniti Mampan Majlis Perbandaran Klang, beliau juga berharap peruntukan untuk merancakkan sektor pelancongan ditingkatkan kepada RM10 juta pada 2025.

“Bajet RM6 juta tidak cukup (untuk memperkasa) industri pelancongan. Jika boleh RM10 juta ke atas, namun kita kena memahami situasi kekangan kewangan.

“Bagaimanapun saya yakin pada 2025, kita akan dapat peruntukan lebih sebab kita nampak lonjakan kemasukan pelancong ke Selangor,” katanya lagi.

Dato’ Menteri Besar ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 memaklumkan beberapa usaha dimulakan tahun depan sebagai persediaan menjayakan Tahun Melawat Selangor 2025.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Tourism Selangor selaku agensi pelaksana promosi pelancongan negeri ditugaskan untuk meneroka pakej pelancongan khas bagi pelancong di Asia dan Eropah.

Selain itu, katanya agensi itu juga meneroka peluang untuk mendigitalkan kluster khas di anjung utara dan selatan Selangor termasuk memanfaatkan pengunjung yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa serta Lapangan Terbang Subang dengan menawarkan insentif khusus.


Pengarang :