Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 24 October, 2023. – SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Kerajaan Perpaduan harungi pelbagai cabaran demi bina semula negara

Kerajaan Perpaduan terbentuk hasil persepakatan gabungan parti-parti politik pada penghujung 2022 terpaksa mengharungi pelbagai cabaran tahun ini.

Selain isu 3R (agama, kaum dan raja) yang menggugat kestabilan politik, pentadbiran diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bergelut dengan isu ekonomi seperti penyusutan nilai ringgit dan kenaikan harga barang.

Namun, semua halangan itu diatasi satu-persatu dengan pendekatan berkesan dengan memperkenal Malaysia Madani, pembentangan belanjawan persekutuan yang merangsang ekonomi pascawabak dan mengukuhkan dasar luar negara.

Bermula dengan menyelesaikan perkara tertunggak dalam Perjanjian Malaysia 1963, Anwar berhasil meraih kepercayaan Sarawak dan Sabah, sekali gus menguatkan Kerajaan Perpaduan.

Dasar-dasar menangani isu pokok yang membelenggu rakyat terbanyak segera dirangka dan dilaksana. Antaranya dasar anti-Ali Baba dan dasar gaji progresif yang dinanti-nantikan banyak pihak.

Kejayaan Malaysia mengenepikan tuntutan kumpulan Sulu untuk menyita aset negara di mahkamah-mahkamah negara Eropah membuktikan keberkesanan dasar luar negara oleh Kerajaan Perpaduan.

Selain itu, kelantangan Anwar membela hak warga Palestin juga menjadi perhatian antarabangsa dan meningkatkan pengaruh Malaysia dalam kalangan negara-negara Islam.

Dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena di Kuala Lumpur pada 24 Oktober, perdana menteri mendedahkan menerima tekanan dalam bentuk teguran dan ugutan negara tertentu kerana memperjuangkan rakyat Palestin.

Namun, ia tidak menghalang Anwar menyuarakan isu berkenaan kepada pemimpin dunia semasa sidang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di San Francisco, Amerika Syarikat dari 14 hingga 17 November 2023.

Tatkala itu suhu politik tahun ini membahang dengan pilihan raya enam negeri yang menyaksikan status quo buat gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN)-Barisan Nasional (BN).

Kehangatan PRN enam negeri tertumpu kepada ucapan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang mempertikai pelantikan Dato’ Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam ceramah politiknya.

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Kongres Nasional KEADILAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 25 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Majoriti dua pertiga

Susulan itu, anggota Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis dan pada 18 Julai beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan menghasut.

Tidak lama selepas PRN, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dibebas daripada pertuduhan menggunakan kedudukan untuk rasuah pada 15 Ogos.

Sementara Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebas pada 4 September atas pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi.

Walau diura-ura akan mengalih sokongan kepada PN pada Ogos, pemimpin Umno terus mendukung Kerajaan Perpaduan.

Sokongan majoriti dua pertiga semakin kukuh apabila lima ahli parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong perdana menteri meski ia mencetuskan perdebatan mengenai larangan lompat parti.

Dukungan kukuh ini membolehkan usaha membanteras rasuah berprofil tinggi dilaksana. Tahun ini beberapa tokoh politik termasuk bekas menteri disiasat, didakwa dan dijatuh hukuman di mahkamah.

Pada 7 Ogos, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cuba mengesan menantu Muhyiddin, Muhammad Adlan Berhan, 48, dan seorang lagi individu, Mansoor Saat, 69.

Mereka dikehendaki bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Bagaimanapun, semakan SPRM dengan Jabatan Imigresen mendapati masing-masing meninggalkan Malaysia pada 17 Mei dan 21 Mei serta tiada rekod masuk kembali ke negara ini.

Pada 9 November, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipenjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta kerana didapati bersalah pecah amanah, salah guna harta dan penggubahan wang haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Seterusnya, SPRM menyita Menara Ilham di Kuala Lumpur selepas bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin enggan bekerjasama mengisytihar asetnya.

Tidak ketinggalan Suruhanjaya Persaingan Malaysia mengenakan penalti RM415.5 juta terhadap kartel makanan ayam yang menjadi antara berita besar menutup tirai tahun ini.


Pengarang :