Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 16 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan sekat kapal Israel berlabuh di Malaysia serta-merta

SHAH ALAM, 20 DIS: Kerajaan memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kementerian Pengangkutan akan bertindak segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat itu berkuat kuasa serta-merta.

Jelasnya, sekatan itu tindak balas terhadap Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap Palestin.

“Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat itu berlabuh di Malaysia. Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di Malaysia.

“Namun, kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu. Kerajaan turut memutuskan tidak lagi menerima kapal menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana menteri menegaskan Malaysia turut melarang mana-mana kapal yang dalam perjalanan ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia, juga berkuat kuasa serta-merta.

“Malaysia yakin keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia,” kata Anwar.

 


Pengarang :