AGENDAJENAYAH

Kerani wanita rugi RM1.08 juta akibat diperdaya individu menyamar pegawai polis

JOHOR BAHRU, 31 DIS: Kerani wanita terpaksa berputih mata apabila wang miliknya berjumlah lebih RM1.08 juta lesap akibat diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar, berkata pihaknya menerima laporan warga tempatan berusia 45 tahun itu kelmarin, mendakwa menjadi mangsa penipuan menerusi panggilan telefon individu menyamar pegawai polis.

Beliau berkata, pengadu yang juga kerani syarikat swasta itu mendakwa menerima panggilan telefon itu pada awal November lalu yang mana pengadu diberitahu akaun banknya terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram, lapor Berita Harian.

“Individu itu menawarkan diri untuk membantu pengadu dan pengadu diarahkan menyerahkan butiran akaun bank yang dimiliki termasuk akses kepada perbankan dalam talian.

“Butiran itu diberikan kepada suspek kononnya sementara siasatan polis dijalankan. Pengadu mengikut arahan suspek untuk memindahkan semua wang miliknya ke akaun bank yang diserahkan suspek.

“Pengadu hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas mendapati wang RM1,086,350 miliknya dikeluarkan daripada akaun sebelum suspek gagal dihubungi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.


Pengarang :