Anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) memasuki kediaman Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Mattin, 6, di Apartment Idaman, Damansara Damai, bagi menjalankan siasatan pada 10 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Kes bunuh Zayn Rayyan, unit forensik ambil sampel DNA di rumah mangsa

PETALING JAYA, 10 DIS: Pasukan Unit Forensik Kontinjen Selangor hadir di kediaman kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini, untuk mengambil sampel bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu.

Pasukan itu bersama tiga anggota polis berpakaian preman dilihat tiba sekitar pukul 4.20 petang dengan membawa satu kotak berwarna hitam memasuki blok kediaman Zayn Rayyan di tingkat dua apartment tersebut.

Sebelum itu, ibu bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan dan Ismanira Abdul Manaf, juga dilihat sampai di kawasan apartment berkenaan sebelum bersama pasukan polis memasuki kediaman mereka.

Selepas hampir 45 minit berada di dalam rumah keluarga itu, tiga anggota polis yang tidak beruniform itu dilihat keluar daripada blok kediaman itu dengan dua orang daripadanya membawa empat beg kertas berwarna coklat dipercayai mengandungi sampel tersebut, manakala pasukan forensik pula membawa sebuah kotak berwarna hitam.

Pasukan forensik meninggalkan kawasan berkenaan pada pukul 5 petang dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda manakala tiga anggota polis itu turut meninggalkan tempat itu sejurus kemudian dengan kenderaan berasingan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya mengambil sampel dari kediaman keluarga Zayn Rayyan, namun enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu, Hussein memaklumkan pihaknya telah mengambil keterangan 28 lagi individu hari ini bagi membantu siasatan kes itu, menjadikan keseluruhan 48 individu telah dirakam percakapan setakat ini.

Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa lepas di Damansara Damai sebelum ditemukan meninggal dunia dekat aliran anak sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya.

— BERNAMA

 


Pengarang :