Petugas kesihatan bersedia untuk memberikan suntikan dos penggalak kepada penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 15 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes Covid-19 meningkat, tiada arahan wajibkan dos penggalak ketiga

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Tiada arahan atau kewajipan untuk seluruh rakyat Malaysia mengambil suntikan dos penggalak vaksin susulan peningkatan kes Covid-19, seperti yang tular di media sosial ketika ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) buat masa ini, hanya menggalakkan pengambilan dos penggalak ketiga vaksin Covid-19, terutama bagi golongan rentan dan berisiko tinggi.

“Ini sedikit salah faham yang berlaku akibat media sosial, sebelum kita sebar maklumat, tolong pastikan kandungan sebenar, kadang-kadang antara tajuk dan isi kandungan dia agak berbeza, dan saya sarankan supaya kita teliti dahulu (kandungan),” katanya kepada pemberita di Wisma Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan agensi berita Xinhua yang turut dihadiri Ketua Pengarang Bernama (yang juga menanggung tugas Ketua Pegawai Eksekutif) Nur-ul Afida Kamaludin.

Turut hadir, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai.

Fahmi berkata beliau juga akan bertemu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagi menyarankan beliau untuk mengadakan perjumpaan dengan ketua pengarang akhbar dan media di negara ini, dalam memperjelas isu berkaitan dos penggalak tersebut.

-BERNAMA


Pengarang :