EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Badanbas Coach Sdn Bhd Ibrahim Aiman Mohd Nadzmi bergambar di hadapan van transit atas permintaan (DRT) Mobi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Khidmat van transit DUN Bukit Antarabangsa mudahkan penduduk

SHAH ALAM, 21 DIS: Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) yang beroperasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa sejak awal bulan ini memudahkan pergerakan pengguna.

Menurut wakil rakyatnya perkhidmatan diterajui Trek Rides membantu mengatasi masalah perbatuan awal dan akhir sistem pengangkutan awam dengan melibatkan 106 hentian di zon Ampang.

“Kita lihat perkhidmatan ini memang memudahkan pengguna kerana ada sesetengah tempat pengguna sukar untuk mendapatkan pengangkutan awam khususnya mereka yang berada di kawasan sempit dan berbukit.

ADN Bukit Antarabangsa Kamri Kamaruddin

“Setakat ini tiada jumlah tepat penumpang menggunakan perkhidmatan ini kerana masih pada peringkat awal, tetapi difahamkan memang ada permintaan,” kata Kamri Kamaruddin ketika dihubungi.

Beliau menambah promosi projek rintis berkenaan akan dipergiat supaya pengguna mengetahui kewujudan perkhidmatan terbabit sekali gus meningkatkan bilangan pengguna.

“Untuk permulaan perkhidmatan DRT dilaksanakan di kawasan yang kita rasa ada banyak permintaan dahulu. Jika tiada (permintaan), kita akan lihat keperluan untuk ubah.

“Sebab itu kita akan memperhebat publisiti perkhidmatan ini dengan memaklumkan kepada penduduk setiap kali perjumpaan bersama mereka tetapi pihak berkaitan juga perlu buat perkara sama,” katanya.

Pada 14 November, EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata perkhidmatan DRT beroperasi di empat kawasan berkepadatan tinggi dan laluan sempit membabitkan Puchong, Bandar Utama, Ampang dan Subang Jaya.

Projek rintis itu dilaksanakan selama enam bulan sebagai salah satu usaha menggantikan Bas Smart Selangor dengan pengguna dikenakan caj RM2 manakala lebihan kos ditanggung pentadbiran negeri.

Sistem DRT juga dipacu perisian pintar bagi memastikan pengguna dari lokasi berbeza dapat diambil dan dihantar ke destinasi berbeza mengikut masa ditetapkan.

Antara hentian terlibat di zon Ampang ialah Transit Aliran Ringan (LRT) Pandan Jaya, Pandan Indah, Cempaka, Cahaya, Ampang termasuk Transit Aliran Massa (MRT) Cochrane, Pantai Hospital Ampang dan Ampang Point.

Pengguna yang mahu mendapatkan perkhidmatan DRT boleh memuat turun aplikasi Trek Rides di AppStore dan Google PlayStore atau layari laman sesawang http://www.trekrides.com


Pengarang :