EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han bersama peserta dan ibu bapa selepas perlawanan persahabatan di antara Klinik Bola Sepak DUN Kinrara dan Fairview International School di Arena MBSJ pada 9 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNEXCOSELANGOR

Klinik bola sepak cungkil bakat baru, ketengah bakat pemain cilik

SUBANG JAYA, 9 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menubuhkan Klinik Bola Sepak bertujuan mencungkil bakat kanak-kanak berusia lingkungan lima hingga 17 tahun dalam sukan itu.

Ahli Dewan Negerinya Ng Sze Han berkata kelab itu kini disertai 70 peserta pelbagai peringkat usia yang juga penduduk sekitar DUN Kinrara.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han ketika ditemui media pada perlawanan persahabatan di antara Klinik Bola Sepak DUN Kinrara dan Fairview International School di Arena MBSJ pada 9 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Sambutan penduduk menggalakkan selepas setahun kelab ini ditubuhkan dan ramai ibu bapa menghantar anak mereka menyertai klinik ini bagi mengasah bakat dalam sukan bola sepak.

“Malah, dengan adanya inisiatif ini ia dapat membantu dan menggalakkan lagi minat anak cilik ini terhadap sukan bola sepak selain menjadikan mereka lebih berdisiplin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan perlawanan persahabatan Klinik Bola Sepak DUN Kinrara bersama Fairview International School di Arena MBSJ, Subang Jaya di sini hari ini.

Perlawanan persahabatan di antara Klinik Bola Sepak DUN Kinrara dan Fairview International School di Arena MBSJ pada 9 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Sementara itu, Ketua Jurulatih Klinik Bola Sepak DUN Kinrara, Ewan Mahfuzh berkata klinik itu ditubuhkan Oktober tahun lalu dengan penyertaan peringkat awal 20 peserta.

Ketua Jurulatih Klinik Bola Sepak Kinrara, Ewan Mahfuzh ditemui ketika perlawanan persahabatan di antara Klinik Bola Sepak DUN Kinrara dan Fairview International School di Arena MBSJ pada 9 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kini penyertaan menjangkau 70 orang dan buat masa ini pendaftaran ditutup, Insya-Allah tahun depan kita teliti untuk buka pengambilan muka baharu.

“Saya berharap bakat pemain cilik ini dipandang oleh pemerhati sukan di luar sana terutama Team Selangor dan Selangor FA supaya mereka boleh pergi ke peringkat lebih jauh,” katanya.

Peserta Klinik Bola Sepak DUN Kinrara mendapat latihan dan bimbingan daripada jurulatih bola sepak bertauliah daripada Selangor FA manakala latihan diadakan pada Ahad setiap minggu dari 8.30 hingga 10.30 pagi di Padang BK2, Kinrara.

 


Pengarang :