Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (tengah) melakukan gimik jumlah 5196 untuk projek KPKT sepanjang 2023 sempena lawatan kerja di Pasar Bazar Rakyat Jalan SK6/1, Seri Kembangan, Subang Jaya pada 28 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KPKT belanja RM700 juta laksana 5,196 projek pembangunan tahun ini

SUBANG JAYA, 28 DIS : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan 5,196 projek pembangunan bagi memenuhi keperluan rakyat pada tahun ini.

Menterinya berkata angka itu tertinggi dalam sejarah kementerian membabitkan peruntukan RM700 juta berbanding RM489 juta tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, Nga Kor Ming berkata RM191 juta dibelanjakan bagi pelaksanaan MyKiosk, projek perparitan dan projek kolam takungan banjir.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika sidang media selepas lawatan kerja di Pasar Bazar Rakyat Jalan SK6/1, Seri Kembangan, Subang Jaya pada 28 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Pertambahan peruntukan sebanyak 43.1 peratus tahun ini membuktikan kejayaan kecekapan KPKT dalam menyusun strategi pembangunan yang berkesan serta memberikan dampak besar kepada rakyat.

“Prestasi ini bukan sahaja mencerminkan pertumbuhan positif dalam sektor pembangunan di kawasan perbandaran dan pekan kecil seluruh negara, malahan ia juga menunjukkan kesungguhan KPKT dalam memenuhi keperluan dan menyelesaikan masalah rakyat di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan siri lawatan terakhir program Sentuhan Kasih KPKT di Pasar Bazar Rakyat, Seri Kembangan di sini hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (kanan) diiringi Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Mohd Zulkurnain Che Ali (dua, kanan) mengadakan lawatan kerja di Pasar Bazar Rakyat Jalan SK6/1, Seri Kembangan, Subang Jaya pada 28 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Kor Ming menjelaskan program Sentuhan Kasih KPKT merupakan inisiatif pihaknya bagi meneliti permasalahan rakyat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan lebih dekat.

Tambahnya, hasil program tersebut KPKT meluluskan RM72.7 juta meliputi 87 projek yang dapat memberikan dampak segera kepada rakyat dalam menyelesaikan masalah prasarana di kawasan terlibat.

Dalam perkembangan sama, Kor Ming menyasarkan sebanyak 50,000 projek kemudahan awam akan dilaksanakan di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun.

“KPKT akan terus komited menumpukan kepada pelbagai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan secara bersepadu dan inklusif bagi merealisasikan perancangan pembangunan yang mampan demi meningkatkan mutu perkhidmatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.


Pengarang :