Peserta dibawa menaiki bot sambil menikmati keindahan Tasik Cermin sempena lawatan budaya ke Perak pada 8 Disember 2023. Foto Facebook Universiti Selangor
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Lawatan Unisel teroka warisan sejarah, hargai khazanah semula jadi

SHAH ALAM, 11 DIS: Seramai 41 pelajar termasuk staf antarabangsa Universiti Selangor (Unisel) dari tujuh negara mengadakan lawatan budaya ke Perak bagi menimba pengalaman dan meneroka warisan sejarah negeri itu.

Pengarah Pejabat Antarabangsa Unisel berkata lawatan pada 8 Disember sejajar aspirasi Malaysia MADANI untuk menjadikan pelajar sebagai duta kecil dalam memperkukuh kepelbagaian budaya.

“Program ini bukan sekadar lawatan bahkan perjalanan transformasi yang merentasi sempadan dan membentuk pemimpin masa depan.

“Pelajar berperanan memperkenalkan negara melalui pengalaman langsung mengenai tempat bersejarah. Mereka menjadikan lawatan budaya sebagai medium pertukaran pendapat dan saling mengenali,” kata Prof Madya Dr Astri Yulia dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Astri berkata kunjungan ke istana lama Kellie’s Castle membuka peluang kepada pelajar mengenali seni bina istana ketika zaman pemerintahan terdahulu.

Manakala program riadah dan santai di Tasik Cermin, katanya, memberi ruang kepada mereka menaiki bot sambil melihat keindahannya yang kaya dengan khazanah semula jadi.

“Lokasi lawatan terakhir Ipoh Heritage trail berjaya menyingkap hasil peninggalan sejarah lama, seni bina bangunan dan mural patriotik yang sangat menarik untuk diamati,” katanya.

Pelajar termasuk staf antarabangsa Universiti Selangor (Unisel) dari tujuh negara bergambar kenangan sempena lawatan budaya ke Perak pada 8 Disember 2023. Foto Facebook Universiti Selangor

Pengarang :