Deretan mayat rakyat Palestin di sebuah hospital di utara Semenanjung Gaza susulan serangan Israel ke kem pelarian Jabalia, pada 31 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Lebih 200 rakyat Palestin terbunuh semalam dalam serangan udara Israel

GAZA, 3 DIS: Lebih 200 orang awam termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara, darat dan laut tentera penceroboh Israel di seluruh Semenanjung Gaza pada Sabtu, menurut Agensi Berita Palestin (WAFA).

Di Khan Yunis di selatan Gaza, pesawat pejuang Israel melakukan beberapa siri pengeboman ke atas kediaman yang mengakibatkan kematian dan kecederaan puluhan orang awam.

Tentera Israel turut memaksa penduduk di bandar Khan Yunis mengosongkan rumah mereka sekali gus meningkatkan jumlah penduduk yang hilang tempat tinggal.

Di Gaza, serangan tentera Israel ke atas blok kediaman penduduk mengakibatkan lebih 150 orang awam terbunuh di kawasan perumahan Shujaeya, menurut laporan tempatan dan perubatan.

Sejumlah besar mangsa yang dilaporkan terbunuh dan cedera dibawa ke Hospital Al-Ahli Baptist manakala ramai lagi penduduk terperangkap di bawah runtuhan bangunan berikutan serangan udara Israel di bandar itu.

Menurut saksi sekurang-kurangnya enam orang awam dan 20 lagi cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah stesen minyak di kem pelarian Jabalia di utara Semenanjung Gaza.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 100 orang awam terbunuh dalam serangan peluru berpandu tentera Israel yang menyasarkan sebuah bangunan kediaman di kem pelarian Jabalia.

Pengeboman itu turut mengakibatkan puluhan penduduk cedera manakala ramai dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Pesawat pejuang Israel juga menyasarkan beberapa rumah berpenghuni di bandar Beit Lahiya, menyebabkan kematian dan kecederaan ramai orang.

Ambulans juga menghadapi kesukaran untuk sampai ke kawasan serangan menyebabkan penduduk membawa mangsa cedera menggunakan kereta yang ditarik haiwan dan kenderaan persendirian ke hospital.

Israel meneruskan serangannya ke atas Semenanjung Gaza pada 7 pagi Jumaat hanya beberapa minit selepas gencatan sementara tujuh hari yang ditaja Mesir, Qatar dan AS berakhir.

– BERNAMA-WAFA


Pengarang :