Suasana sekitar reurai Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 4 Disember 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 600 naskhah IBDE terjual dalam tempoh empat hari pesta buku negeri

SHAH ALAM, 4 DIS: Lebih 600 buku pelbagai judul terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) habis terjual dalam tempoh empat hari Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 berlangsung.

Antara lima buku menjadi pilihan pengunjung adalah Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal; ‘Umar Al-Khattab; Tata Dunia; Perempuan Seribu Satu Malam dan Salahuddin Al-Ayubi Raja Penakluk.

Selain itu, naskhah yang turut menjadi pilihan pengunjung SIBF ke reruai IBDE adalah Gelagat dan Ragam Orang Melayu; Muslihat Mahathir, Abu Bakar As-Siddiq dan Apa Itu Tasawuf?.

Pegawai jualan dan pemasaran IBDE berkata SIBF merupakan medan terbaik untuk mengembangkan lagi jualan buku IBDE yang berunsurkan sejarah, Islamik, tokoh tempatan dan sastera kepada umum.

“Alhamdulillah, sambutan amat memberangsangkan sejak hari pertama dan setakat ini rata-rata pengunjung kita adalah daripada golongan individu berusia sekitar 30 hingga 55 tahun daripada pelbagai bangsa.

“Kita mengalu-alukan pengunjung untuk menyerbu reruai IBDE bernombor P36 dan H17 bagi menikmati tawaran diskaun 10 peratus bagi pembelian satu dan dua buku manakala 15 peratus tiga buku ke atas,” kata Mohammad Hakim Mohammad Hood.

Ditemui di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini, Hakim turut menyarankan peminat sejarah agar tidak ketinggalan untuk membeli buku berjudul Sejarah Selangor.

“Rakyat Selangor terutamanya amat digalakkan membeli buku ini bagi mengetahui sendiri riwayat sejarah negeri ini bermula pada tahun 1766 hingga 1939 yang dapat disimpulkan sebagai pengakhiran zaman pra perang.

“Buku lain yang juga menarik dan kita mahu ketengahkan di SIBF kali ini adalah Melakar Riwayat Baru Hubungan Islam dan Barat serta Pendukunan Melayu,” jelasnya.

Berlangsung dari 1 hingga 10 Disember, SIBF 2023 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah, jualan buku dan diskaun menarik menanti pengunjung.

Usaha penerbitan oleh IBDE mendapat geran Kerajaan Negeri, dijangka memakan masa tiga tahun.

SIBF julung kali dianjurkan tahun lalu susulan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.

 


Pengarang :